SUBANG JAYA – Kuil Sri Maha Mariamman telah beberapa kali cuba dicerobohi namun gagal, kata Setiausaha Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman, VK Regu.
Istimewanya kuil ini menurut beliau disebabkan sebatang pokok bernama Arasamaram atau nama tempatannya pokok ara – yang didakwa oleh penganut Hindu di situ ‘melindungi’ tempat mereka beribadat.
Kata Regu , semangat daripada pokok yang berusia 125 tahun mengikut rekod Jabatan Perhutanan Negeri Selangor itu dipercayai menjadikan semua penganut Hindu di situ bersemangat untuk ‘mempertahankan’ kuil itu daripada diceroboh.
“Kepercayaan agama kami, pokok ini ada unsur semangat tersendiri dan keramat. Saya sendiri nampak hari tu orang ceroboh masuk dalam tiba-tiba ramai datang, ratusan orang cuba masuk dan dengan ‘kuasa’ dia (pokok itu) gagal.
“Tiga, empat kali orang datang ceroboh sini tapi dapat dihalang. Semangat pokok melindungi kuil ini. Banyak kali orang cuba ceroboh tapi semangat itu yang selamatkan kuil kami,” katanya.
Menceritakan sejarah pokok itu, Regu berkata, ia ditanam selepas Kuil Sri Maha Mariamman dibina lagi dan pada awalnya ada sebanyak 16 kuil di kawasan itu namun jumlahnya semakin berkurangan kerana pembangunan pesat.
Kuil itu dikunjungi kira-kira 200 hingga 1000 penganutnya untuk beribadat namun jumlah pengunjung akan bertambah pada waktu perayaan.
Kuil Sri Maha Mariamman semakin menjadi sebutan masyarakat hari ini selepas insiden rusuhan tercetus pada awal pagi Isnin yang lalu.
Rusuhan akibat bantahan kuil itu dipindahkan oleh pihak pemaju kemudian berlanjutan selama seharian sehingga mengakibatkan beberapa belas kereta dibakar.
Ribuan penganut agama hindu berkumpul di kuil itu beberapa hari yang lalu untuk mempertahankan tempat ibadat mereka. – MalaysiaGazette