KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mahu memotong elaun musim tengkujuh kepada penoreh getah amat dikesali, kata Isham Jalil.
Presiden Sukarelawan Malaysia itu berkata, kenyataan Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang mahu penoreh mencari pendapatan tambahan dengan menanam sayur atau menternak ikan juga didakwanya tidak kena.
“Menteri (Teresa) tidak pernah pergi menoreh getah. Pada musim tengkujuh, penoreh tidak keluar menoreh sebab air hujan bercampur dengan susu getah yang menyebabkan hasil torehan tidak baik.
“Ini bukan kerana penoreh ini malas dan sengaja tidak produktif dan ambil cuti berbulan. Tak menoreh, tak ada duit, tak makan. Mereka perlukan pendapatan waima pada musim tengkujuh pun,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Isham, semasa kerajaan Barisan Nasional (BN), kesemua agensi-agensi yang berkaitan dahulu telah mengkaji selama berdekad-dekad bagaimana untuk meningkatkan pendapatan hampir setengah juta penoreh getah di seluruh negara.
“Takkanlah seluruh agensi kerajaan dan pegawai-pegawai kerajaan selama berpuluh tahun sebelum ini tidak tahu sekiranya penoreh getah boleh menoreh pada musim tengkujuh tapi sengaja tak mahu keluar,” katanya lagi.
Beliau yang juga bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak semasa menjadi perdana menteri itu mendakwa ia bukan kali pertama seorang menteri dari PH menyarankan perkara seperti itu kerana sebelum ini ada seorang lagi menteri yang menyarankan perkara yang seakan-akan sama kepada nelayan.
“Saya rasa saya terpaksa maklumkan perkara asas ini kepada menteri supaya tidak lagi membuat dasar yang menyusahkan rakyat. Sekiranya penoreh disuruh menternak ikan secara sambilan, maka beliau terpaksa membahagikan masanya antara menoreh dan menternak ikan dan apa akan jadi kepada kolam ikan dan pelaburan beliau bila habis musim tengkujuh?” soalnya lagi.- MalaysiaGazette