WASHINGTON – Arab Saudi akan membeli sistem pertahanan peluru berpandu Lockheed Martin berjumlah AS$15 bilion, kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) selepas pentadbiran melobi secara agresif bagi memuktamadkan perjanjian yang membabitkan panggilan peribadi antara Presiden Donald Trump dan Raja Salman.

Jabatan Negara berkata, Arab Saudi dan para pegawai AS telah menandatangani surat tawaran dan dokumen penerimaan pada Isnin lalu, bagi membolehkan negara itu membeli 44 pelancar, peluru berpandu dan peralatan berkaitan sistem Terminal Altitud Tinggi Kawasan Pertahanan (THAAD), lapor Reuters.

Beberapa minggu lalu, pentadbiran Trump dan industri pertahanan AS berusaha untuk menyelamatkan beberapa perjanjian mempromosikan pakej senjata bernilai AS110 bilion untuk Arab Saudi ketika kekhuatiran mengenai peranan kepimpinan dalam kematian wartawan, Jamal Khashoggi meningkat.

Perjanjian THAAD dirundingkan sejak Disember 2016 dan kini ia telah dimuktamadkan, kata jurucakap itu.

Pada September lalu, Trump dan Raja Salman membincangkan perjanjian sistem pertahanan peluru berpandu THAAD menerusi panggilan telefon, kata seorang pegawai Arab Saudi kepada Reuters pada Oktober lalu.

Pegawai itu berkata, perjanjian tersebut boleh diselesaikan pada akhir tahun ini.

Jurucakap Jabatan Negara berkata, perjanjian tersebut pertama kali dilaporkan CNBC, menyokong ‘keselamatan jangka panjang Arab Saudi dan rantau Teluk itu dalam menghadapi peningkatan ancaman peluru berpandu balistik dari rejim Iran dan kumpulan ekstremis yang disokong Iran’.

Semalam, Senat mengundi untuk mempercepatkan resolusi bagi menamatkan sokongan ketenteraan AS kepada gabungan yang diketuai Arab Saudi dalam perang saudara di Yemen, yang menjurus kepada kemungkinan undian akhir untuk mengambil langkah tersebut dalam masa beberapa hari lagi.

Kongres telah meluluskan penjualan sistem peluru berpandu THAAD pada 2017. – Agensi