Temubual eksklusif bersama Komander 69, SAC Abdul Razak Mohd Yusoff di Cheras, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 29 NOVEMBER 2018.

SEDAR tak sedar tiga bulan lalu genap 18 tahun berlakunya peristiwa yang menggemparkan negara di mana Ketua Kumpulan Al-Maunah, Mohd. Amin Mohd. Razali dan para pengikutnya merompak sejumlah senjata dari Kem Batalion 304 Askar Wataniah (AW) dan Pos AW Kuala Sungai Rui, Gerik, Perak.

Kumpulan itu juga membunuh dua orang anggota pasukan keselamatan yang menjadi tebusan sewaktu dikepung di tempat persembunyian mereka di Bukit Jenalek, Kuala Kangsar. Mohd. Amin dan tiga lagi ahli kumpulan iaitu Zahit, Jamaludin dan Jemari telah menjalani hukuman gantung sampai mati di penjara Sungai Buloh pada tahun 2006.

Dalam peristiwa berkenaan, dua pegawai bersenjata iaitu Leftenan Jeneral Datuk Seri Zaini Mohamad Said (ATM) dan ASP Abd. Razak Mohd. Yusoff (PDRM) juga telah dianugerahkan pingat keberanian tertinggi negara, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) di atas komitmen dan keberanian luar biasa mereka ketika menyelesaikan insiden berkenaan.

Wartawan Malaysia Gazette, SYAHRIL A. KADIR secara eksklusif malam tadi menemui Abd. Razak yang baru-baru ini telah dilantik sebagai Komander 69 Komando dengan pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).

Berikut adalah petikan wawancara khas dengan pegawai kanan polis yang mempunyai latar belakang pengajian agama dan kepakaran dalam seni mempertahankan diri ini.

MGF29112018_TEMUBUAL SAC RAZAK08
Temubual eksklusif bersama Komander 69, SAC Abdul Razak Mohd Yusoff di Cheras, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 29 NOVEMBER 2018.

MG: Apa benda yang sentiasa Tuan ingat atau sematkan dalam diri ketika bertugas?

RAZAK: Mursyid saya selalu berkata, kita ‘janganlah merasa pandai, sebaliknya kita hendaklah pandai merasa’. Kadang-kadang kita tak suka orang buat kat kita, persoalannya yang kita buat kat orang lain macam mana pula?

Contoh akhir-akhir ini, orang asyik bercakap mengenai hak asasi manusia. Dalam hal ini jangan kita rasa kita saja yang betul, kita saja nak hak kita tetapi pada masa yang sama kita menafikan hak orang lain.
Jadi kalau hendak mendapatkan keamanan, masing-masing kena berkongsi hak masing-masing, kena menghargai hak masing-masing.

Islam sendiri sebagai contoh, pernah merupakan kuasa besar dunia, ‘super power’ dulu dan ia bertahan lebih 1,000 tahun. Kalau kita ingat zaman Rasullah SAW, zaman sahabat, zaman Saidina Uthman, kita sudah pun mengusai 1/3 dunia.

Maksudnya di sini, orang Afrika pun dalam dunia tu, sampai India, China, Rusia, Parsi. Kita dapat hidup dengan aman dengan pelbagai keturunan dan dengan pelbagai bangsa.

Dalam Al-Quran, surah Al-Hujurat, ayat 13 ada menyebut: “Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.

Apa yang dikatakan takwa itu? Takut nak membuat kesalahan, seolah-olah kita berjalan di atas tempat yang banyak duri. Bila kita takut nak buat kesalahan, kita akan sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga, kita akan sentiasa menghormati undang-undang dan menghargai orang, barulah kita dapat kemuliaan.

Kalau kita kurang ajar, tak ada adab, kita tak mahu bersopan, macam mana orang nak menghargai kita? Macam mana kita nak dipandang mulia?

Dan kalau kita mengaku kita Islam tetapi kita tak berakhlak, kita kurang ajar, kita maki orang, kita sumpah seranah orang, kita buat kacau orang maknanya kita sebenarnya yang hilang maqasid Islam itu sendiri.

MGF29112018_TEMUBUAL SAC RAZAK07
Temubual eksklusif bersama Komander 69, SAC Abdul Razak Mohd Yusoff di Cheras, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 29 NOVEMBER 2018.

MG: Ramai orang Islam mahukan ‘jalan pintas ke syurga’ dengan menyertai kumpulan pengganas, kumpulan militan. Apa komen Tuan selaku pegawai yang terlibat secara langsung dalam menjaga keselamatan negara?

RAZAK: Rasulullah SAW bersabda: “Berjihadlah menentang hawa nafsu kamu sebagaimana kamu menentang musuh-musuh kamu.”

Baginda menamakan jihad ini dengan jihad akbar sebagaimana sabda Rasulullah SAW kepada para sahabat sekembalinya dari medan perang:

“Kamu telah kembali dari medan jihad yang lebih kecil untuk menghadapi jihad yang lebih besar. Para sahabat bertanya: Apakah dia jihad yang lebih besar itu wahai Rasulullah SAW ? Rasulullah SAW bersabda : Jihad terhadap diri sendiri.”

Jihad melawan hawa nafsu dianggap jihad yang lebih besar kerana ia merupakan perjuangan menundukkan hawa nafsu supaya jiwa seseorang itu menjadi bersih dan dapat diarahkan kepada kebaikan. Dengan itu, diri manusia akan bersih dan mampu untuk melakukan usaha jihad selanjutnya bagi menentang musuh-musuh Islam di segenap medan pertarungan.

Bila kita dapat mengawal hawa nafsu , mengalahkan hawa nafsu kita, itulah sebenarnya jihad. Dan jangan bimbanglah pasal jihad-jihad yang lain itu. Tuhan dah kata, Dia takkan membebankan kita dengan susuatu yang kita tidak mampu.

Ada orang kata, kita kena bersama dengan Imam Mahdi, kami kenal Imam Mahadi…saya nak tanya juga, imam yang kat masjid kita tu kamu kenal ke tidak?

Kenal tak imam kat masjid sebelah rumah tu? Kalau imam tu pun kita tak kenal, macam mana nak kenal Imam Mahadi yang kita sendiri pun tak kenal?

Yang nak berjihad sangat di tempat lain tu saya nak tanya juga, masjid sebelah rumah kamu tu ada tak kamu pernah Subuh berjemaah? Ada tak kamu Isyak berjemaah? Ni sebenarnya, kalau kita nak tau orang munafik…nak berjuang itulah, inilah tetapi nak sembahyang berjemaah Isyak dan Subuh pun tak buat.

Tak usahlah berjihad jauh-jauh ke Syria sebagai contoh…..jihad datang sembahyang berjemaah di masjid dulu..kalau mampu, barulah fikirkan yang lain-lain. Buat yang lima waktu tu dulu berjemaah, bangun solat Tahajud dan sebagainya

Kadang-kadang kita boleh melihat semut di seberang laut, tetapi gajah depan mata pun kita boleh tak nampak. Musuh utama kita iaitu hawa nafsu kita iaitu dalam diri kita sendiri, kita tak nampak. Banyak lagi musuh dalam diri yang kita masih tak dapat nak tewaskan tetapi sibuk nak musnahkan musuh lain.

MGF29112018_TEMUBUAL SAC RAZAK06
Temubual eksklusif bersama Komander 69, SAC Abdul Razak Mohd Yusoff di Cheras, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 29 NOVEMBER 2018.

MG : Adakah itu antara benda yang tuan perdebatkan dengan Amin dan pengikut-pengikutnya dalam kes Al-Maunah dulu?

RAZAK: Sebenarnya kalau kita bercakap dengan ‘hati’, orang yang punya ‘hati’ akan dapat merasa apa yang kita katakan. Jadi bila dia perkatakan dia mengamalkan ilmu kebatinan, dia akan dapat rasa bila kita bercakap tentang ilmu kebatinan juga.

Dan ilmu kebatinan ini ni la ilmu tasauf.

Ada persamaan..mungkin…kadang-kadang benda apa pun ada ‘chemistry’ nya.. kalau kita bercakap tentang ilmu-ilmu ghaib, ilmu-ilmu metafizik ini yang pentingnya kita kenal siapa Dia yang Pencipta yang ghaib lagi maha ghaib..ni kadang-kadang kita nak kenal yang ghaib tetapi kita tak kenal Pencipta yang ghaib daripada segala yang ghaib.

Sebenarnya kita kena ingat, apa pun rintangan , apa pun ujian, atau apa yang dihadapi, kita ada model kita sebenarnya. Model kita Rasullullah SAW. Dengan akhlak kita yang baik, jahat macam mana pun orang itu, percayalah dia akan terpengaruh jika kita punya akhlak yang tinggi.

Kalau kita lawan api dengan api, api itu takkan padam malah ia akan menjadi lebih marak justeru lawanlah api dengan air, lawan buruk dengan kebaikan…benda itu yang dibuat oleh Rasulullah SAW.

Misal kata kita nak berjihad, kita berhijad untuk menghidupkan keamanan dan menghidupkan kesejahteraan.

Bukan meruntuhkan kedamaian dan keamanan. Tuhan tak bagi kita bertolong-tolongan atas dosa dan permusuhan.

MG : Tuan sekarang mencapai kemuncak dalam karier Tuan dengan menjadi orang nombor satu dalam 69 Komando. Bagaimana Tuan melihat amanah besar yang perlu Tuan tanggung ini?

RAZAK: Sebenarnya tanggungjawab ni kena tengok ‘one at a time’. Dalam Al-Quran ada disebut “ Jaga diri kamu dan ahli kamu daripada api neraka”. Kadang-kadang kita sebelum bercakap pasal dunia, kita kena tengok juga apa yang dekat dengan diri kita dahulu.

Famili kita, lepas famili kita, apa lagi yang dekat dengan kita? Tanggungan kita.

Kalau kita sebagai komander pula, yang paling dekat dengan kita adalah unit kita yang kita ‘command’.

Kita ambil satu persatu..one at a time.

Daripada segi bebanan kerja pula, kita kena ingat, apa sahaja masalah yang kita hadapi, jawapan dan kuncinya ialah Al Quran dan Sunnah. Islam itu sendiri sebagai sistem hidup, penyelesaian bagi segala masalah.

Waima apa pun, bermulah dengan diri kita dulu. Kita kena punya akhlak yang baik, akhlak yang penyabar, nasihat orang dengan cara yang baik, nasihat dengan kasih sayang.

Teruknya seseorang itu kadang-kadang ia disebabkan kurang kasih sayang.

Contoh anjing. Kalau kita selalu baginya makan, dia akan cuba balas budi kita. Kalau orang kacau kita, dia akan tolong kita. Itu anjing, binatang yang dikategori sebagai hina, najis dan sebagainya.

Teruk-teruk orang takkan lebih hina daripada anjing? Anjing pun boleh hargai kasih sayang orang, hargailah ia.

MGF29112018_TEMUBUAL SAC RAZAK01
Temubual eksklusif bersama Komander 69, SAC Abdul Razak Mohd Yusoff di Cheras, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 29 NOVEMBER 2018.

MG: Apa masalah dengan umat Islam ketika ini?

RAZAK: Kita mengaku Islam tetapi orang kitalah yang paling ramai yang buang anak, yang mengaku Islam tu la yang paling banyak yang merempit, yang mengaku Islam itulah yang paling banyak ragut orang…jadi macam mana Islam nak mendapat penilaian yang baik, ‘appreciation’ yang baik kepada orang yang bukan Islam.

Salah yang mengaku Islam, tapi tak mengamalkannya. Kita akan dimuliakan, akan disanjung, maruah kita akan naik jika kita laksanakan Islam. Kalau kita tak amalkan Islam, kalau kita sendiri tak menghargai agama kita, macam mana kita nak harap orang lain hargai kita? – Malaysia Gazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast