Peguam, Haniff Khatri Abdulla. foto IQBAL BASRI, 13 DISEMBER 2017.
Peguam, Haniff Khatri Abdulla. foto IQBAL BASRI, 13 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla menafikan dakwaan bahawa beliau dan rakannya Muhammad Rafique Rashid Ali terlibat dalam membawa sekumpulan samseng ke kuil Sri Maha Mariamman, Seafield sehingga mencetuskan rusuhan.

Beliau turut menyifatkan dakwaan itu disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, lapor The Star.

“Kami mengutuk fitnah dan pembohongan ini dan memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang tidak berhenti menyebarkan fitnah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Haniff berkata, beliau dan Rafique mempunyai bukti bahawa fitnah berhubung pembabitan mereka adalah tidak tepat atau penyataan yang tidak tepat berhubung siasatan yang sedang dijalankan boleh mengancam keselamatan individu yang tidak terlibat dalam isu berkenaan.

Haniff adalah peguam yang dilantik oleh pemaju One City Development Sdn Bhd kira-kira 12 jam selepas serangan pertama berlaku pada hari Isnin lalu.

Gambar Haniff dan Muhammad Rafique yang mendakwa sebagai individu yang bertanggungjawab mencetuskan rusuhan itu telah ditularkan dalam pelbagai media sosial sejak semalam.

Haniff dan rakannya mewakili tiga kakitangan One City yang ditahan tetapi mereka tidak direman.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut selepas Menteri Dalam Negeri mendakwa peguam yang mewakili One City menjadi dalang kepada rusuhan di kuil berkenaan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, siasatan polis mendapati peguam yang mewakili One City menggunakan saluran tidak betul dengan mengupah sekumpulan lelaki Melayu mengawal keadaan kuil pada pagi 26 November lalu.

Hari itu merupakan hari pemaju berusaha mengambil alih tapak kuil tersebut.

Berdasarkan siasatan polis, wang sebanyak RM150,000 sudah diserahkan kepada ketua kumpulan Melayu itu untuk melakukan kerja menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil.

“Seperti yang telah saya katakan adalah tanggungjawab bagi pihak berkuasa untuk memberikan kenyataan umum mengenai perkembangan mengenai siasatan ke atas kes-kes, terutama kepentingan awam.

“Bagaimanapun, pada masa yang sama, kenyataan itu tidak dapat mendedahkan maklumat khusus yang boleh mengancam keselamatan siapa pun atau mempengaruhi siasatan dan perbicaraan jenayah yang adil, jika hal itu berlaku,” kata Haniff.

Beliau menambah, beberapa kenyataan oleh Muhyiddin semasa sidang akhbar boleh menjejaskan kedaulatan undang-undang kerana sesetengahnya tidak tepat atau kerana siasatan masih dijalankan. – MalaysiaGazette