KUALA LUMPUR – Pengerusi Bank Rakyat yang baharu menggantikan Tan Sri Shukry Salleh akan dilantik dalam masa yang terdekat, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.
Beliau memberi jaminan calon yang dipilih bukan dari kalangan ahli politik dan ada integriti.
“Sebenarnya kita berhemah. Kita ada visi untuk bangunkan dalam Pakatan Harapan ini, begitu juga dengan Bank Rakyat. Kita masih dalam proses pembentukan lembaga pengarah untuk memenuhi visi kita dalam hala tuju membangunkan perniagaan yang boleh dimudahcara oleh Bank Rakyat dari segi penggunaan dana bank.
“Sepatutnya kita akan tukar. Namun ada keadaan semasa libatkan integriti dan satu pengkhianatan kepada negara jadi saya tidak ragu-ragu untuk menyingkirkan beliau sebagai pengerusi Bank Rakyat,” katanya.
Pada Isnin lalu, Tan Sri Shukry Salleh disingkirkan dari jawatan beliau sebagai Pengerusi lembaga pengarah Bank Rakyat serta-merta.
Terdahulu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Abdullah mendakwa Shukry telah mengarahkan pasukan audit 1MDB untuk menggugurkan fakta-fakta penting dari Laporan Pengauditan Akhir 1MDB pada tahun 2015.
Madinah mendakwa, Shukry mengarahkan agar pembabitan Jho Low hadir dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB digugurkan atas alasan mengelakkan pihak pembangkang (pada ketika itu) dari mempolitikkan isu tersebut.
Tambah Mohd Redzuan, tindakan menukar laporan audit merupakan satu kesalahan besar. – MalaysiaGazette