mahathir
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap mengenai tindakan kerajaan dalam memastikan ketenteraman dan keharmonian kaum dalam negara lanjutan daripada insiden di tapak Kuil Sri Maha Mariamman Seafield Subang Jaya di dalam Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor boleh mengambil semula tanah kawasan kuil Sri Maha Mariamman sebagai cara untuk menyelesaikan isu yang tercetus antara pihak pengurusan kuil itu dengan pemaju sehingga mengakibatkan berlakunya rusuhan baru-baru ini.

Namun menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia terpulang kepada kerajaan negeri sama ada mahu bertindak demikian atau sebaliknya.

“Apa yang terjadi adalah hasil daripada keengganan untuk pindahkan kuil itu yang mana telah diarahkan oleh mahkamah.

“Kalau kerajaan negeri nak selesaikan mereka boleh bertindak, kalau mereka bolehlah, ambil kembali tanah itu. Kalau mereka mahulah,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Kerajaan persekutuan, tambah beliau, tidak mempunyai kuasa berhubung isu itu kerana perkara yang melibatkan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Tidak. Ini adalah di bawah bidang kerajaan negeri. Isu tanah ini adalah bidang kuasa kerajaan negeri, (kita) kerajaan persekutuan tidak ada hak. Kita hanya ada hak berhubung isu rusuhan,” katanya.

Kerajaan persekutuan, katanya, akan mempertimbangkan sekiranya wujud keperluan berdasarkan perkembangan semasa, menjadi orang tengah bagi menyelesaikan isu ini.

Isu pemindahan kuil itu mencetuskan rusuhan di kawasan rumah ibadat berkenaan pada awal pagi Isnin dan Selasa yang menyaksikan seorang anggota bomba cedera parah selain perusuh membakar 23 kenderaan dan merosakkan cermin bangunan kompleks One City yang terletak 1 kilometer dari kuil tersebut.

Pada hari ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak tiga penganut Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, untuk menangguhkan pelaksanaan Interim Penghakiman Persetujuan dan Writ Milikan oleh One City Development Sdn Bhd (One City), bagi mendapatkan semula tapak kuil itu.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, mengikut perundangan pihak pengurusan kuil itu terbuka untuk membuat rayuan kepada mahkamah. – MalaysiaGazette