WASHINGTON – Para Senator Amerika Syarikat lantang mengkritik kegagalan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) hadir dalam sesi pendengaran berkaitan hubungan dengan Arab Saudi.
Meskipun Setiausaha Negara, Mike Pompeo dan Setiausaha Pertahanan, Jim Mattis hadir memberi keterangan tetapi ketidakhadiran Gina Haspel disifatkan sebagai menyembunyikan sesuatu.
Senat mengundi supaya tindakan selanjutnya untuk menamatkan sokongan bagi Arab Saudi yang menerajui perang di Yaman.
Kritikan terhadap Arab Saudi semakin meningkat sejak pembunuhan Jamal Khashoggi.
Khashoggi yang merupakan penduduk tetap Amerika Syarikat dibunuh semasa memasuki bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki pada 2 Oktober lalu.
Presiden Donald Trump dan pentadbirannya telah menggambarkan Arab Saudi sebagai sekutu penting dan menentang sebarang hukuman terhadap Riyadh.
Minggu lepas, Trump juga telah menolak penilaian CIA yang mendakwa Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman terlibat dalam pembunuhan Khashoggi.
Malah, Trump secara konsisten mempertahankan hubungan perniagaan dan tentera AS dengan Arab Saudi
Para Senator marah apabila permintaan mereka untuk mendengar kenyataan terus daripada Haspel – yang telah mendengar pita rakaman pembunuhan yang diberikan oleh Turki , telah ditolak.
Senator Demokrat, Bob Menendez berkata, Senat telah dinafikan untuk mendengar keterangan daripada Pengarah CIA.
Haspel telah mendengar audio tentang pembunuhan itu tetapi penilaian CIA itu tidak dibuat umum.
“Saya menghormati Setiausaha Negara dan Pertahanan tetapi saya tidak memerlukan mereka untuk bercakap tentang maklumat CIA, saya perlu mendengarnya secara langsung,” katanya sambil berkata sudah tiba masanya untuk menghantar mesej kepada Arab Saudi tentang tindakannya yang melanggar hak asasi manusia dan malapetaka kemanusiaan di Yaman. – MalaysiaGazette