KUALA LUMPUR – Hadiah terkumpul sehingga RM30,000.00 menjadi rebutan 80 ‘penggodam’ atau ‘hackers’ daripada pelbagai bidang pada program ‘Hackathon PLUS 2018: Hacking the Highway’ yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Program yang julung kali dianjurkan oleh PLUS ini bertujuan mencipta dan menghasilkan aplikasi atau produk yang inovatif dan kreatif bersama PLUS dalam memberikan nilai tambah kepada pelanggan lebuh raya.
Menurut Ketua Pegawai Teknologi dan Inovasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Shamsul Izhan Abdul Majid, PLUS sentiasa fokus untuk mengaplikasikan teknologi terkini dalam memberikan nilai tambah kepada pelanggan lebuh raya.
Penganjuran Hackathon memberi peluang kepada PLUS untuk sama-sama mencipta serta menghasilkan aplikasi atau produk berteknologi tinggi dalam memberikan pengalaman perjalanan lebuh raya yang lebih pintar dan berteknologi tinggi di masa yang akan datang.
Bertemakan #hackingthehighway, program Hackathon PLUS yang berlangsung selama 24 jam tanpa henti ini disertai oleh pakar-pakar dalam bidang penghasilkan aplikasi digital, perisian komputer, pereka grafik, pengurus projek dan bidang-bidang lain.
Menurut Shamsul, program ini juga memberi peluang kepada peserta berkongsi idea dan potensi untuk mencipta atau membangunkan aplikasi yang inovatif, termasuk mencipta prototaip unik dalam membantu PLUS menyediakan perkhidmatan lebuh raya yang lebih pintar, lebih selamat serta menjimatkan kos pada masa akan datang.
“Pasukan yang berjaya menghasilkan produk, prototaip atau aplikasi yang menarik dan praktikal akan diberi peluang bekerjasama dan menjadi rakan pintar PLUS dan Teras Teknologi untuk membangunkan dan merealisasikannya di lebuh raya PLUS,” jelas Shamsul.
Pengadilan adalah berdasarkan beberapa kriteria iaitu model bisnes, inovasi, kreativiti, pelaksanaan, keberkesanan dan lain-lain lagi.
Hackathon PLUS menawarkan hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM10,000, manakala RM5,000 dan RM3,000 untuk pemenang tempat kedua dan ketiga. – MalaysiaGazette