Mujahid Yusof
Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa. foto SYAFIQ AMBAK, 30 NOVEMBER 2018

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata Perdana Menteri dijangka mengumumkan pendirian Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tentang perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD).

Katanya, perkara itu perlu diputuskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana dibimbangi akan menggugat keselamatan di negara ini.

“Mungkin diputuskan oleh Perdana Menteri kerana lambat lagi berlangsung, jadi beliau akan mempunyai pendirian yang lebih jelas tentang himpunan itu,” katanya kepada media di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.

Sebagai kerajaan yang prihatin kepada rakyat, Mujahid berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan oleh PH dan biarlah Kementerian Dalam Negeri yang memantaunya.

“Kami kerajaan yang baharu, sebenarnya meraikan kebebasan berhimpun tapi persoalannya apakah perhimpunan itu boleh membawa sesuatu yang boleh gugat keselamatan, itu saya serah kepada pihak Kementerian Dalam Negeri dan Perdana Menteri untuk buat keputusan,” katanya lagi.

Mujahid turut ditanya mengenai kenyataan Mufti Kelantan Mohamad, Datuk Shukri Mohamad bahawa penerusan himpunan itu hanya mengundang “hal yang tidak baik”, selain kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan.

Mengulas soalan itu, Mujahid berkata pandangan itu dikeluarkan berdasarkan kepada peristiwa pencerobohan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman yang menimbulkan ketegangan di kalangan masyarakat.

“Di atas khuatirkan atas isu asal bahawa ia boleh terdedah kepada perkara yang boleh membimbangkan kita iaitu ketegangan kaum.

“Perkara itu bila berhimpun ramai-ramai akan berlaku pelbagai perkara, apapun kita serah kepada Perdana Menteri nanti atau pihak polis untuk beri penilaian kepada perhimpunan itu,” katanya lagi.

Shukri Mohamad semalam menggesa himpunan kesyukuran terhadap penolakan ICERD yang dijadual 8 Disember ini tidak perlu diteruskan, memandangkan keadaan semasa yang agak tegang.

Shukri berkata, himpunan itu dilihat lebih banyak keburukan dan akan menimbulkan masalah sekiranya diteruskan kelak. -MalaysiaGazette