KUALA LUMPUR – Kumpulan nasyid popular, UNIC yang bakal meraikan ulang tahun mereka yang ke-17 akan mengadakan konsert amal di di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak
Konsert Ainul Mardhiah – Gelora Bintang Syurga dipilih UNIC untuk meraikan ulang tahun kumpulan itu yang bakal berlangsung 7 Disember nanti.
Konsert amal tersebut bertujuan untuk membantu pesakit kanser kanak-kanak di wad pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), pusat tahfiz anak autisme Yayasan Al Faqeh dan Unit Kebajikan Hal Ehwal Pelajar, UPSI.
“Sempena bulan keputeraan Nabi Muhammad, lazimnya konsert Maulidur Rasul yang diadakan. Begitupun, kami mahu meraikan ulang tahun ke-17 UNIC dengan kerjasama UPSI. Ia akan mengimbas perjalanan kami sejak dulu hingga sekarang,” kata Fakhrul salahb seorang anggota itu dipetik dari BH.
Selain Fakhrul atau nama penuhnya Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin, kumpulan yang dikenali dengan lagu Hanya Tuhan Yang Tahu itu juga dianggotai oleh Bazli Hazwan dan Wan Najdi Wan Mohd Noh.
Tambahnya, kumpulan terbabit akan mendendangkan 15 lagu dalam konsert selama dua jam itu.
“Selain itu, diselitkan juga persembahan teater. Pendek kata, kami juga akan berlakon selain menyanyi,” katanya sambil memaklumkan, tiket yang dijual pada harga RM20 hingga RM150 boleh dibeli dengan merujuk kepada Instagram @unicofficials.-MalaysiaGazette