KUALA LUMPUR – AirAsia telah dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia buat tahun keenam berturut-turut di Pusingan Akhir World Travel Awards (WTA) 2018.
AirAsia mengungguli kategori tersebut setelah menerima undian tertinggi daripada para pelancong dan pemain industri profesional dari seluruh dunia.
Syarikat penerbangan it, menewaskan Southwest Airlines, JetBlue, Ryanair, easyJet, Jetstar Airways, Norwegian Air, West Air, flydubai, Air Arabia, flynas dan fastjet.
AirAsia juga memenangi anugerah Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambah Rendah Terkemuka Dunia buat kali kedua berturut-turut, mengatasi Southwest Airlines, JetBlue, Ryanair, easyJet, Jetstar Airways, Norwegian Air, West Air, flydubai, Air Arabia, flynas, fastjet, Kulula dan Mango.
Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan dan Ketua Komunikasi Kumpulan AirAsia Audrey Progastama Petriny menerima anugerah tersebut bagi pihak syarikat di sebuah majlis di Pátio da Galé, Lisbon, semalam. – MalaysiaGazette