Liow Tiong Lai
Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR – Sebagai orang lama dalam parti, sudah tentu Datuk Seri Liow Tiong Lai tidak senang hati dengan khabar angin yang bertiup kencang kononnya parti itu mahu keluar dari Barisan Nasional (BN).

Beliau yang memegang jawatan Presiden MCA dari tahun 2013 sehingga Perhimpunan Agung Tahunan parti itu berakhir petang ini, hanya mampu menasihatkan kepimpinan baharu agar lebih berhati-hati dalam membuat keputusan.

Dalam ucapan terakhirnya, Tiong Lai membayangkan seolah beliau sendiri belum mendapat jawapan muktamad keputusan daripada pemimpin dan ahli MCA mengenai kedudukan parti itu dalam BN.

Justeru, bekas Menteri Pengangkutan itu beberapa kali mengeluarkan kenyataan mengingatkan kepimpinan baharu supaya tidak tergesa-gesa membuat keputusan.

“Sebaliknya, fikirlah masak-masak dahulu. Apa kesan buruk jika MCA keluar BN dan apa yang MCA akan lakukan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang jika parti itu bersendirian.

“Banyak perkara perlu difikirkan. Pemimpin dan ahli tidak boleh beremosi. Sebaiknya duduk berbincang dan cari jalan penyelesaian dengan rakan gabungan,” katanya berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Jawatan Presiden MCA bagi penggal 2018-2021 akan dipegang oleh Datuk Seri Wee Ka Siong yang merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam dan satu-satunya pemimpin MCA yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.

Tiong Lai yang menyertai MCA tahun 1981 berkata, kekalahan BN mempertahankan kerajaan Persekutuan menyebabkan satu demi satu parti komponen keluar BN yang akhirnya tinggal UMNO, MIC dan MCA.

“Walaupun BN kembali seperti zaman Perikatan, tetapi ini antara hakikat yang perlu dilalui semua parti komponen,” katanya.

Beliau turut meminta penggantinya, Ka Siong supaya memperkukuhkan MCA dengan agenda utama parti, selain menguruskan persepsi komuniti Cina kepada UMNO sebaik mungkin.

“MCA mesti membina strategi yang baik untuk membuat keputusan yang lebih bijak. Ini untuk masa depan parti, ahli dan komuniti Cina,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast