KUALA LUMPUR – Pemandu-pemandu teksi di seluruh negara digesa menghentikan sebarang demostrasi dan protes bagi membantah pemandu e-panggilan yang beroperasi tanpa lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).
Pengarah Big Blue Taxi Facilities, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, pemandu teksi perlu memberi peluang kerajaan yang bersetuju mewajibkan pemandu e-panggilan berdaftar seperti pemandu teksi bermula 1 Januari ini.
“Saya ingin menggesa seluruh warga pemandu teksi menghentikan perhimpunan aman kerana kita harus memberi peluang kepada Kementerian Pengangkutan termasuk Menteri dan Timbalan Menteri untuk melaksanakan janji-janji.
“Saya bercakap ini bukan kerana saya ingin mengaut sokongan daripada pemandu teksi, tidak, kalau pemandu teksi tak nak menyokong saya pun tiada masalah.
“Sebagai rakyat Malaysia, sebagai seorang insan warga negara Malaysia yang prihatin terhadap pemandu-pemandu teksi, saya mengesyorkan tidak membuat apa-apa perhimpunan aman,” katanya pada sidang media di Wisma Central, di sini, hari ini.
Minggu lalu, Shamsubahrin memberi jaminan bahawa pemandu-pemandu teksi di bawah syarikat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd tidak akan mengadakan demonstrasi dan protes sehingga 1 Januari tahun depan.
Shamsubahrin memberi jaminan itu selepas pertemuannya dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Parlimen, Isnin lepas.
Beliau berkata, sudah sampai masanya semua pemandu teksi mengemaskini diri khususnya menggunakan aplikasi e-panggilan untuk bersaing secara sihat dengan pemandu e-panggilan lain bermula 1 Januari depan.
“Kita kena mula mengemaskinikan diri kita, kenderaan kita dan perkhidmatan kita kerana tinggal hanya beberapa minggu saja lagi menjelang 1 Januari 2019.
“Pada 1 Januari 2019 bermulanya peperangan besar-besaran antara semua syarikat e-panggilan terhadap pemandu teksi.
“Sekarang ini pemandu e-panggilan tiada PSV, tiada insurans, selepas ini kena ada, jadi pemandu e-panggilan sama dengan pemandu teksi lain, cuma kategori saja berlainan.
“Tapi syaratnya sama, jawatan adalah sama dengan pemandu teksi, bawa apa pun dia tetap pemandu teksi,” katanya.
Katanya lagi, pemandu e-panggilan juga perlu bersedia untuk menghadiri kursus bagi mendapatkan lesen PSV dan insurans seperti mana yang diwajiban kerajaan menjelang awal tahun depan.
“Saya juga nak menasihatkan pemandu Grab berhenti berlagak, berhenti fikir kau bagus, kau tak bagus mana pun, kau tak pandai tiada pengalaman macam pemandu teksi.
“Pemandu teksi yang mulakan e-pangggilan bukan kau (Grab), pergi kursus, ambil lesen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette