Datuk Dr Md Farid Md Rafi
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Datuk Dr Md Farid Md Rafi (tengah) bercakap kepada pemberita dalam sidang media di lobi Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kecederaan parah yang dialami anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akibat insiden di Kuil Sri Maha Mariamman semakin menunjukkan perkembangan positif.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Datuk Dr Md Farid Md Rafi berkata, Muhammad Adib mampu mengangguk kepala dan membuka kelopak matanya, hari ini.

“Muhammad Adib kini mampu memberi reaksi balas terhadap keadaan sekitarnya. Beliau sudah sedar tapi masih banyak mesin sokongan di badan.

“Tapi boleh mengangguk dan faham apa yang dikatakan, itu ada permintaan untuk terus bagi semangat dekat beliau,” katanya pada sidang media selepas menziarahi anggota bomba itu di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Muhammad Hamdan Wahid berkata, Muhammad Adib tidak lagi bergantung kepada mesin sokongan jantung.

“Bagaimanapun mesin sokongan masih terus digunakan pada bahagian paru-parunya,” katanya.

Katanya, doktor yang merawat Muhammad Adib memaklumkan kepadanya bahawa jantung anggota bomba itu sudah berfungsi dengan sendiri.

Dalam kejadian awal pagi Selasa lepas, Muhammad Adib dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika terlibat dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Putra Heights, Subang Jaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast