Mohamed Hanipa Maidin
Mohamed Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR – Kakitangan lantikan kontrak perlu menerima hakikat bahawa pekerjaan mereka hanya sekadar lantikan sambilan yang boleh ditamatkan perkhidmatan sekiranya tidak diperlukan lagi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin berkata, kerajaan tidak secara ‘suka-suka’ bertindak memberhentikan perkhidmatan mereka sebaliknya ada kekangan jika perkhidmatan mereka diteruskan lagi.

“Saya sedia maklum, malah bersetuju sekiranya memberhentikan kakitangan kontrak ini sebenarnya akan menjadi masalah. Itu saya akui. Tetapi pada masa yang sama, sebelum kita ambil mereka bekerja, mereka sudah tahu tentang penamatan perkhidmatan apabila tiba masanya.

“Saya pasti kakitangan-kakitangan kontrak dan sambilan ini sedia maklum tentang status pekerjaan mereka dari dulu lagi. Pekerja kontrak ini diambil mengikut keperluan.

“Ini adalah perkara biasa untuk kerajaan terdahulu yang sebelum ini telah mengambil pelbagai pekerja kontrak awam secara berlebihan dan tidak diperlukan, kita bukan berhentikan mereka semua ini dengan begitu sahaja. Mengikut keperluan perkhidmatan.

“Kita tidak boleh serap mereka atau sambung kontrak hanya kerana mahu ‘menjaga’ mereka sahaja. Saya juga difahamkan ada juga pekerja yang diberhentikan itu diberikan pampasan kepada yang layak sahaja,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Beliau mengulas soalan Ahli Parlimen Sabak Bernam (BN), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berhubung bilangan penjawat awam sambilan dan kontrak yang telah diberhentikan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih dan menyatakan justifikasi pemberhentian golongan itu.

Kata Hanipa, seramai 14,868 pekerja kontrak dalam pelbagai agensi kerajaan yang telah dilantik oleh BN pada April 2018.

Daripada jumlah tersebut 1.2 peratus telah ditamatkan manakala 11,354 terus kekal berkhidmat.

Bagaimanapun, angka lain tidak disebut olehnya selain daripada jawapan bertulis. –MalaysiaGazette