Qatar mengumumkan menarik diri daripada Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mulai Januari 2019, kata Menteri Negara bagi Hal Ehwal Tenaga, Saad bin Sherida al-Kaabi pada Isnin.

DOHA – Qatar mengumumkan menarik diri daripada Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mulai Januari 2019, kata Menteri Negara bagi Hal Ehwal Tenaga, Saad bin Sherida al-Kaabi pada Isnin.

Keputusan itu diambil selepas Qatar mengkaji semula kaedah untuk meningkatkan peranannya di peringkat antarabangsa dan sebagai strategi jangka panjang, termasuk menumpukan kepada industri gas, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Negara itu merupakan pengeluar terkecil OPEC namun pengeksport gas asli cecair terbesar dunia.

“Qatar memutuskan keluar dari OPEC dan ia sudah dimaklumkan kepada pertubuhan itu pagi ini,” katanya pada sidang akhbar.

Bagaimanapun beliau yang juga presiden dan ketua eksekutif QP berkata Qatar tetap akan menghadiri pertemuan OPEC di Vienna minggu ini.

Pengumuman itu dibuat menjelang pertemuan OPEC dan sekutunya termasuk Rusia, pada 6 hingga 7 Disember, untuk membincangkan bekalan pemotongan.

Menteri itu berkata ia bukanlah keputusan mudah kerana telah bersama OPEC selama 57 tahun.

Tegas beliau Doha akan terus mematuhi semua komitmen sama seperti negara pengeluar minyak lain yang bukan di bawah OPEC.

Keputusan berkaitan tiada kaitan dengan tindakan Arab Saudi dan tiga negara Arab lain memutuskan hubungan dilpomatik dan ekonomi dengan Qatar sejak Jun, 2017.

Sebaliknya ia membolehkan Qatar membangunkan industri gas asli, ketika negara di Teluk Arab beralih untuk meningkatkan pengeluaran dari 77 juta kepada 110 juta tan setahun.

— BERNAMA-NNN-QNA