KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (LTH) mencatatkan pelaburan dalam syarikat subsidiari dalam negara tertinggi dengan nilai pelaburan bersih RM6.903 bilion.

Ia diikuti oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM4.579 bilion, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM2.033 bilion dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjumlah RM1.046 bilion.

Badan berkanun Persekutuan lain mencatat pelaburan berjumlah RM1.909, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2.

Analisis audit terhadap pendapatan pelaburan dalam syarikat subsidiari dalam negara menunjukkan peningkatan sejumlah
RM150.53 juta kepada RM561.76 juta daripada pendapatan yang diterima pada tahun 2016 berjumlah RM412.35 juta.

Badan Berkanun Persekutuan yang mencatatkan pendapatan yang tertinggi pada tahun 2017 adalah Lembaga Tabung Haji (LTH) berjumlah RM322.11 juta.

Ini diikuti oleh KWSP berjumlah RM203.37 juta, Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjumlah RM8.77 juta, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berjumlah RM7.43 juta dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM6.85 juta.

Katanya, badan berkanun Persekutuan lain mencatat pendapatan daripada pelaburan dalam syarikat subsidiari berjumlah
RM13.23 juta.

Sementara itu, KWSP pula merekodkan pelaburan dalam syarikat subsidiari luar negara tertinggi dengan nilai
pelaburan bersih RM15.596 bilion, diikuti KWAP berjumlah RM1.561 bilion dan Lembaga Minyak Sawit Maaysia (MPOB) berjumlah RM0.007
bilion.

Tabung Haji telah melupuskan kesemua pelaburan luar negara pada tahun 2017 berbanding tahun 2016 dengan nilai pelaburan berjumlah RM0.155 bilion.

Analisis audit terhadap pendapatan pelaburan dalam syarikat subsidiari luar negara menunjukkan peningkatan sejumlah
RM1,110.85 juta menjadi RM2,061.13 juta berbanding RM950.28 juta yang diterima pada tahun 2016.

Badan Berkanun Persekutuan yang mencatatkan pendapatan tertinggi pada tahun 2017 adalah KWSP berjumlah RM1,514.32 juta.

Selain itu, KWAP pula berjumlah RM432.35 juta dan Tabung Haji berjumlah RM114.46 juta. – MalaysiaGazette