Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-13 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 18 NOVEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memuji kecekapan pegawai dan kakitangan kementerian itu yang disifatkannya sebagai layak bertaraf dunia.

Menceritakan hal itu dalam program bersama Ketua Pengarang dan Pengarang media arus perdana dan media sosial, beliau menganggap pelantikannya sebagai menteri di kementerian itu sebagai bertuah kerana dikelilingi oleh pegawai yang bijaksana dalam pengurusan dan perkhidmatan.

“Sebaik saya dihubungi Tun Dr Mahathir Mohamad yang memaklumkan saya akan mengetuai sebuah kementerian, saya tertanya-tanya kementerian apa yang bakal Perdana Menteri itu berikan.

“Apabila diberitahu saya akan dilantik Menteri KPDNHEP, saya sudah merasakan ia suatu kementerian yang utama dan penting.

“Namun, sebaik saya masuk ke kementerian ini, saya dapati semua pegawai dalam kakitangan adalah golongan yang profesional. Ada beberapa negara dunia mendapat khidmat nasihat, pandangan dan ilmu pengetahuan mereka,” katanya pada program Lucheon Talk Media dan Kepenggunaan: Perspektif Negara di Dewan Serbaguna kementerian itu di sini, hari ini.

Menurut Saifuddin, beliau mempunyai banyak perkara untuk diceritakan kepada pengamal media dan berharap program seumpama itu dapat diadakan lagi.

Beliau turut menceritakan pengalaman awal sebagai menteri, yang mana beliau telah membangkitkan satu isu pembalakan tidak terkawal di Kedah yang berlaku pada zaman kerajaan terdahulu.

Katanya, beliau telah membangkitkan isu itu pada Mesyuarat Kabinet dan pada hari sama juga Dr Mahathir meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN) ketika itu, Tan Sri Ali Hamsa mengambil tindakan segera.

“Tidak sampai seminggu saya bangkitkan isu itu, pembalakan di kawasan berkenaan telah dihentikan dan penduduk kini mampu menarik nafas lega tidak lagi berhadapan dengan banjir kilat.

“Sebelum ini kalau hujan setengah jam sahaja kawasan itu dinaiki air. Ini merisaukan penduduk dan kini, ia tidak lagi berlaku.

“Malah, saya mengambil inisiatif menanam kira-kira 2,000 anak pokok balak di kawasan yang terjejas dengan pembalakan haram itu sebagai usaha saya untuk mengelakkan berlaku banjir kilat akibat hakisan tanah,” katanya.

Beliau turut menjawab soalan dari pengamal media Karangkraf, Hashim Anang mengenai Bank Makanan yang dikatakan olehnya sebagai suatu program yang dimulakan oleh Datin Seri Rosmah Mansor dan kenapa kerajaan sekarang tidak berterima kasih kepada isteri bekas Perdana Menteri itu.

Menjawab pertanyaan itu, Saifuddin Nasution dengan tenang memberitahu, memang program itu dimulakan oleh kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN), tetapi ianya dalam bentuk kerangka yang sudah mempunyai jawatankuasa.

“Cumanya program itu tidak dapat diteruskan kerana BN kalah dan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.

“Apabila saya masuk ke kementerian ini, saya lihat mana-mana program yang baik untuk manfaat rakyat, saya teruskan setelah dilakukan penambahbaikan dan mengemaskini termasuk program Bank Makanan.

“Saya tidak pernah menidakkan kebaikan kerajaan lalu,” katanya.

Beliau turut menyentuh secara ringkas isu Tabung Haji (TH) yang disifatkannya sebagai pelik, apabila agensi itu mengalami defisit tetapi pengurusan lama tetap membayar dividen.

Padahal, katanya, dividen hanya dibayar sekiranya syarikat mendapat keuntungan, tetapi tidak dalam kes TH.

“Saya tidak mahu mengulas panjang, kita (kerajaan PH) menyerahkan kepada pengurusan baharu TH untuk menyelesaikannya dan polis menjalankan siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette