Pakar Obstetrik dan Ginekologi, dan Penyelaras Unit Perancangan Keluarga Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Harlina Halizah Siraj berucap pada forum 'Amalan Seks Yang Bijak Untuk Generasi Alaf Baharu Yang Sudah Berumah Tangga : Kemesraan, Keluarga dan Kesihatan' di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 04 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Jenayah hubungan seks bawah umur yang dikategorikan sebagai kes rogol tidak sepatutnya dikecualikan hanya kerana perkahwinan bawah umur.

Profesor Dr Harlina Halizah Siraj berkata, isu perkahwinan bawah umur sepatutnya memfokuskan kepada kebajikan kanak-kanak atau remaja terlibat yang pada akhirnya akan berdepan dengan pelbagai kesan khususnya dari aspek keselamatan dan kesihatan.

“Kita tidak mahulah satu jenayah hubungan seks kurang dari 15 tahun yang sepatutnya dianggap sebagai rogol tetapi sebab berkahwin, tidak jadi pula (jenayah).

“Jadi, di situ ada manipulasi undang-undang, kita tidak mahulah keselamatan dan kepentingan kanak-kanak tidak dijadikan titik timbang.

“Bawa kembali kepada keutamaan iaitu kebajikan kanak-kanak yang dikahwini itu,” katanya yang juga Pakar Obstetrik dan Ginekologi dan Penyelaras Unit Perancangan Keluarga Pust Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab forum bertajuk Amalan seks yang bijak untuk generasi alaf baharu yang sudah berumah tangga – Kemesraan, keluarga dan kesihatan.

Isu perkahwinan bawah umur, jelasnya menjadi bahan perbualan namun tidak menjerumus kepada keutamaan untuk kembali menilai keperluan untuk anak yang dikahwinkan sama ada lelaki dan perempuan.

Undang-undang dalam negara memperuntukkan bahawa mana-mana individu yang melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak yang berumur 16 tahun ke bawah, sama ada secara rela atau dipaksa tetap dikategorikan sebagai rogol.

Berbeza dengan situasi 60 tahun yang dulu, tambah Dr Harlina situasi pada masa kini tidak lagi sesuai untuk mengahwinkan anak-anak di bawah umur.

Sebaliknya, anak-anak di bawah umur itu perlu diberi pendidikan dan penjagaan masih di bawah tanggungjawab ibu bapa.

Tegasnya, mana-mana pihak jangan lari daripada memberi keutamaan terhadap kebajikan anak-anak remaja, sama ada lelaki mahupun perempuan.

“Sepatutnya anak-anak ini memang dikawal, dijaga oleh ibu bapa. Ibu bapa yang baik tidak akan kahwinkan anak mereka yang di bawah umur.

“Jadi, mahkamah sepatutnya menjadi tempat menyelamatkan anak-anak yang dikahwinkan di bawah had umur,” katanya.

MGF04122018_MARRIED MILLENNIALS_02
Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM), Datuk Dr. Kamaruzaman Ali berucap pada forum ‘Amalan Seks Yang Bijak Untuk Generasi Alaf Baharu Yang Sudah Berumah Tangga : Kemesraan, Keluarga dan Kesihatan’ di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 04 DISEMBER 2018

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM), Datuk Dr Kamaruazaman Ali berkata, wujud kesan negatif terhadap institusi keluarga apabila perkahwinan bawah umur berlaku.

Aspek negatif itu, katanya membabitkan kemahiran untuk berbincang.

Ini kerana, katanya,  sama ada suami atau isteri yang berkahwin di bawah umur tidak mempunyai pengetahuan yang cukup  bagaimana cara untuk berbincang dan membuat keputusan.

“Kalau kahwin awal bermaksud dia tidak boleh habiskan pendidikannya.

“Pendidikan ini penting sekarang, ia boleh digunakan untuk bekerja, mendapat gaji dan penjagaan keluarga, anak-anak akan lebih baik sebab perbincangan (negotiation skill) lebih baik, macam mana nak katakan tidak kepada suami, macam mana nak berbincang,” tambah beliau. -MalaysiaGazette