SERDANG – Program interaktif dan praktikal Agrokids kelolaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menjadi tumpuan sepanjang sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 yang berakhir Ahad lalu.
Timbalan Ketua Pentadbir NAFAS, Dzulfadli Johan berkata, ini kerana program tersebut berjaya mendekatkan kanak-kanak untuk melihat eksperimen sains secara santai.
Jelas beliau, ibu bapa yang membawa anak-anak mereka juga berpeluang menyaksikan dan turut serta melakukan demonstrasi sains ringkas.
“Antaranya seperti membuat sendiri mayonis, aiskrim, sabun dan segmen Bersama Chef Naim yang mendapat sambuta ramai.
“Agrokids berjaya membuat kanak-kanak terhiburan kerana pelbagai aktiviti praktikal dapat dilakukan sepanjang 11 hari MAHA 2018 untuk memberi peluang melakukan eksperimen sains,” katanya.
Beliau ditemui di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini baru-baru ini.
Dzulfadli menambah, NAFAS kali ini memberi penekanan kepada pengembangan teknologi apabila pengunjung terutama golongan peladangan muda dapat merasai pengalaman menggunakan video visual realiti (VR) berkonsepkan table to lab.
Jelas beliau, ia bagi memberi gambaran keadaan sebenar di kilang seperti memproses baja yang bermula daripada pemilihan bahan mentah sehingga proses pembungkusan.
“Golongan peladang muda diharap dapat membudayakan pertanian komersial berteraskan teknologi terkini dengan produk berkualiti
“Penyertaan mereka dalam gerakan ini dapat memberi banyak pendedahan dan bergerak ke arah menjadikan sektor pertanian suatu kerjaya berpendapatan tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette