KUALA LUMPUR – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menentang sebarang usaha untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Presidennya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, sebagai tanda bantahan, GAMIS akan mengerahkan 10,000 mahasiswa dari seluruh negara untuk menyertai Himpunan Aman Bantah ICERD di Dataran Merdeka, Sabtu ini.
“Himpunan ini bakal memberikan pengajaran kepada sebahagian pemimpin negara yang masih belum serik dengan amaran-amaran yang telah diberikan oleh NGO dalam siri protes-protes sebelum ini.
“Himpunan ini bakal menjadi bukti bahawa rakyat Malaysia menolak sepenuhnya sebarang usaha kerajaan untuk meratifikasi ICERD,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dilaporkan menyatakan kerajaan akan meratifikasi atau mengesahkan enam bentuk perjanjian antarabangsa termasuk ICERD dalam suku pertama tahun depan.
Waytha berkata, kerajaan masih tiada kata putus berhubung hasrat meratifikasi ICERD dan sesi mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada semua pihak berkaitan perkara itu akan dimulakan pada Januari depan.
Bagaimanapun pada 24 November lalu, pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menyatakan kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD.
Kenyataan itu menyebut, kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan seperti mana termaktub dalam kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.
Muhammad Faizzuddin juga mendakwa, ICERD merupakan satu bentuk penjajahan antarabangsa atau Malayan Union 2.0 yang bakal meletakkan negara dalam keadaan bahaya, hilang identiti dan menafikan kontrak sosial.
“Menurut artikel 2 (C) ICERD, mana-mana negara ahli yang menndatangani perjanjian ICERD mestilah melakukan perubahan kepada mana-mana undang dan polisi negara bertentangan dengan objektif ICERD.
“Ini adalah satu peruntukan bakal menjejaskan kedudukan agama Islam dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, keistimewaan Bumiputera dalam Perkara 153 dan kedudukan serta peranan Raja-Raja Melayu,” katanya,
Katanya lagi, peruntukan ICERD juga didakwa bakal merosakkan kontrak sosial yang telah lama menjadi tunjang kepada perpaduan kaum dalam negara ini.
“Walaupun reservasi dibenarkan namun menurut artikel 20 (2) ICERD, mana-mana reservasi yang bertentangan dengan objektif ICERD tidak sama sekali akan diluluskan.
“Peruntukan ini bakal meletakkan Malaysia sebagai negara yang hilang identitinya dan bakal menafikan hak bumiputera sebagai orang asal dalam negara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette