Gambar hiasan. foto Getty Images

SINGAPURA -Harga minyak jatuh 11 peratus dalam dagangan hari ini susulan peningkatan inventori Amerika Syarikat (AS) dan kejatuhan pasaran saham global di tengah-tengah kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi.

Kontrak hadapan minyak mentah Amerika Syarikat, West Texas Intermediate (WTI) berada pada paras AS$52.61 setong pada 0128 GMT, jatuh AS$0.64 sen atau 1.2 peratus berbanding ketika akhir dagangan semalam.

Kontrak hadapan minyak mentah Brent juga menyusut 56 peratus atau 0.9 peratus berada pada paras AS$61.52 setong.

Harga minyak mengalami tekanan ekoran laporan mingguan American Petroleum Institute yang memaklumkan inventori minyak mentah Amerika Syarikat meningkat sebanyak 5.4 juta tong seminggu sehingga 30 November menjadikannya 448 juta tong.

Ia sekaligus menunjukkan kemelut pasaran minyak Amerika Syarikat semakin meningkat.

Data rasmi pengeluaran dan inventori minyak Amerika Syarikat  dijangka dikeluarkan lewat hari ini.

Bank of America Merill Lynch dalam tinjauan masa hadapan ekonomi 2019 yang diterbitkan semalam berkata, kebanyakan negara utama dijangka mengalami penurunan aktiviti walaupun langkah-langkah rangsangan monetari dan fiscal yang kukuh diharap dapat memperlahankan impak.

Bank tersebut meramalkan harga Brent dan WTI berada pada paras purata AS$70 dan AS$59 setong pada 2019.

Pada tahun ini, harga purata Brent dan WTI adalah AS$72.80 dan AS$66.10.- MalaysiaGazette