KUALA LUMPUR – Kapal mewah Equanimity milik Jho Low akan dijual sebelum 31 Mac tahun depan dengan nilai jualan dianggar mencecah sembilan digit.
Harga sembilan digit adalah dari RM100 juta dan kurang dari RM1 bilion.
Peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), S. Sitpah yang mewakili kerajaan dan tiga lagi berkata demikian melalui satu kenyataan selepas pengurusan kes itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi (Admiralti). Datuk Khadijah Idris hari ini.
Menurut beliau, mahkamah sedang meneliti pelbagai aspek berhubung tawaran yang diterima selepas bidaan ditutup pada 28 November lalu.
Katanya, fasa mandatori jualan sudah dilaksanakan dan kini hanya menunggu arahan mahkamah untuk memuktamadkan penjualan kapal mewah tersebut.
Katanya, tawaran harga sembilan digit itu telah diperoleh melalui permohonan sebaik sahaja mendapat persetujuan mahkamah.
“Sekiranya mahkamah berpendapat harga yang ditawarkan bersesuaian dengan nilai kapal yang berusia empat tahun itu, maka kebenaran jualan akan diberi,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Tarikh tutup bidaan bagi Equanimity adalah pada 28 November selepas tawaran dibuka pada 29 Oktober lalu.
Sitpah percaya, tahap kedua proses penghakiman untuk jualan akan membantu mendapatkan nilai yang optimum bagi pelupusan Equanimity.
Pada 19 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa 1MDB Energy Holdings Ltd dan 1MDB Global Investment Ltd, anak-anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), adalah pemilik sah Equanimity. – MalaysiaGazette