KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil yang baharu, Datuk Saiful Azly Kamaruddin akan mengambil tugasan untuk meneruskan siasatan berhubung kes 1MDB.
Saiful Azly sebelum ini menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.
Beliau mengambil alih tugas Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh yang tamat perkhidmatan pada hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Saiful Azly akan meneruskan siasatan tersebut yang sebelum ini diketuai oleh Amar Singh.
“Setiap pegawai dan anggota yang bersara tugasan mereka akan diteruskan oleh pengganti.
“Dalam kes ini beliau (Saiful Azly) akan mengambil alih tugasan itu, bukan sahaja kes 1MDB tapi juga siasatan-siasatan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan upacara Penyampaian Anugerah Pingat Jasa Pahlawan Negara dan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.
Mengulas lanjut Mohamad Fuzi berkata, siasatan 1MDB akan diteruskan selagi kes itu belum selesai.
Katanya, kesemua individu yang dicari akan dihadapkan ke muka pengadilan dan dituduh di mahkamah.
Dalam satu siaran media pagi tadi Mohamad Fuzi berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan termasuk akan mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa luar negara dan Interpol untuk mengesan ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) bersama empat individu lain.
Empat yang lain itu ialah Tan Kim Loong (Eric), Pengarah Pembangunan Perniagaan 1MDB, Tang Keng Chee (Casey); peguam, Loo Ai Swan (Jasmine) dan Pengarah Eksekutif Kewangan 1MDB, Geh Choh Heng (Terence).
Kelima-lima mereka menghadapi sebanyak 13 pertuduhan yang melibatkan kerugian wang berjumlah AS$1.17 bilion (RM4.2 bilion).
Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata, seramai 99 orang telah ditahan berhubung kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, yang berlaku baru-baru ini.
Menurutnya, kesemua tangkapan tersebut dilakukan di sekitar Lembah Klang.
“Semua yang ditangkap ini ada kaitan dengan siasatan kita dalam kejadian pada 26 dan 27 Disember lalu,” ujarnya. – MalaysiaGazette