Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR – Dakwaan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Ops Yaman 2 di Arab Saudi diketuai dan diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah bohong.

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata, beliau amat kecewa kerana gerak geri Hishamuddin dalam isu Ops Yaman bukan sahaja tidak benar  tetapi juga tidak hadir ke sesi perbahasan berhubung itu pada hari ini.

Kata Chin Tong, MKN atau Jemaah Panglima tidak pernah memberi kelulusan atau arahan ‘atur gerak’ kepada ATM untuk menjalankan misi ketenteraan itu.

Selain memberikan maklumat serta kenyataan tidak berasas Hishamuddin yang sepatutnya hadir untuk sekurang-kurangnya memberi penjelasan atau penerangan tentang isu tersebut.

“Saya sangat kecewa kerana mantan Menteri tidak hadir pada hari ini.

“Walaupun beliau mendakwa dengan berkata MKN yang membuat keputusan tersebut, siasatan mendapati agensi itu, malah barisan Jemaah Panglima atau Jemaah Menteri tidak pernah mengeluarkan arahan untuk misi tersebut secara bertulis.

“MKN tidak pernah tidak pernah menghasilkan ‘originating directive’ (arahan pemula) untuk Ops Yaman 2 ini. Saya sebenarnya tidak mahu bercakap lebih atau membuat pendedahan lebih banyak lagi. Mantan Menteri datang dulu Parlimen bagi penjelasan.

“Saya hendak biarkan dulu siasatan secara menyeluruh dilakukan terlebih. Saya memang tidak mahu cakap banyak tentang perkara tetapi MKN tidak pernah beri arahan seperti yang didakwa,” katanya ketika membuat penggulungan Undang-Undang Perbekalan 2019 peringkat Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Semalam, Hishammuddin berkata, pihak yang membuat pendedahan mengenai Ops Yaman 2 perlu memahami fungsi MKN untuk mengetahui pembabitan sebenar ATM di Arab Saudi.

Ahli Parlimen Sembrong itu mendakwa Chin Tong sebenarnya tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku ketika membuat pendedahan terbabit.

“Dia lupa apa itu MKN. Dia kata (Ops Yaman 2) tidak dibawa ke Kabinet, dia sepatutnya tanya kepada perisik luar kita, tanya kepada MKN, tanya mereka apa sebenarnya yang kita lakukan,” katanya kepada pemberita semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast