Temubual eksklusif Malaysia Gazette bersama Bekas Ketua Siasatan Tempat Kejadian (CSI) PDRM, Supt (B) Amidon Adnan di Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 05 DISEMBER 2018

NAMA Amidon Anan tidak perlu diperkenalkan lagi sebenarnya. Bekas Ketua Siasatan Tempat Kejadian (CSI) Makmal Forensik PDRM ini sangat diingati kerana terlibat secara langsung dalam banyak siasatan kes jenayah berprofil tinggi di Malaysia. Beliau yang bersara dengan pangkat Supritendan ini pernah diberi tanggungjawab untuk menyiasat kes pembunuhan kejam Canny Ong, kes rogol dan bunuh jurutera komputer Noor Suzaily Mukhtar, kes pembunuhan model dari Mongolia, Altantuya Shariibuu dan ramai lagi.

Mendapat latihan dalam bidang forensik di Australia, Amidon juga pernah dilatih oleh agensi penyiasatan Amerika Syarikat dan pihak Scotland Yard.

Beliau yang pernah menjadi pegawai penyiasat kes tragedi Highland Tower dan kes rompakan jongkong emas terbesar di kompleks kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Subang ini kini memanfaatkan masa persaraannya dengan melatih sebuah agensi penguatkuasaan dan mengajar di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Wartawan MalaysiaGazette, SYAHRIL A. KADIR telah mewawancara secara eksklusif Amidon di kediamannya di Shah Alam semalam. Berikut adalah petikan temubual berkenaan.

amidon2

MG: Selama hampir 25 tahun mengabdikan diri dalam dunia sains forensik, mungkin ada satu-satu kes yang cukup meninggalkan kesan terhadap diri Tuan.

AA: Antara kes yang saya tak dapat lupa adalah satu kes pembunuhan di mana si suami telah bertindak membunuh isterinya hanya disebabkan cemburu buta. Ia berlaku di sebuah flat. Ceritanya begini. Suatu hari si isteri telah bertegur sapa dengan seorang jirannya. Si suami yang ketika itu pulang awal dari tempat kerja telah ternampak mereka berdua sedang berbual.
Lalu berlakulah pertengkaran hebat antara kedua-dua suami isteri tadi. Disebabkan tidak dapat menahan sabar, si suami telah menumbuk isterinya sehingga pengsan. Ketika inilah si suami telah mengambil sebatang penyangkut baju besi. Dia meluruskan penyangkut tersebut dan membentuk seperti huruf ‘Y’ di hujungnya.
Lalu si suami tadi telah merodok kemaluan isterinya dengan penyangkut tadi. Lepas dirodoknya, kemudian dia tarik kembali. Perbuatan tersebut dilakukan berulangkali hingga menyebabkan kecederaan organ dalaman yang teruk pada mangsa. Mangsa mati di tempat kejadian dalam keadaan berlumuran darah.
Ketika saya sampai di tempat kejadian, saya memeriksa fizikal mayat. Saya kemudian cuba menarik keluar penyangkut yang disumbat ke dalam faraj mangsa namun gagal.
Hanya selepas bedah siasat dibuat di hospital, barulah kami mendapat tahu rupanya pelaku terlebih awal membentuk besi penyangkut itu dalam bentuk ‘Y’ agar penyangkut besi itu ‘tersangkut’ dalam tubuh mangsa. Ia bagi mendatangkan kesakitan dan penderitaan berganda pada isterinya! Bayangkan kesakitan yang ditangung mangsa, sebab itu saya tak dapat lupa kes ini sampai bila-bila!

MGF05122018_AMIDON ADNAN_14
Temubual eksklusif Malaysia Gazette bersama Bekas Ketua Siasatan Tempat Kejadian (CSI) PDRM, Supt (B) Amidon Adnan di Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 05 DISEMBER 2018

MG: Mungkinkah ada ‘petanda’ tertentu yang ada pada Tuan dalam melakukan tugasan yang diamanahkan?

AA: Antara petanda yang saya akan dapat masa bertugas dulu adalah ‘bau mayat’ yang akan tiba-tiba menusuk hidung. Contohnya ketika saya pergi ke pasar. Tiba-tiba masa tu saya terbau mayat, bayangkan, takkanlah kat pasar boleh ada mayat? Selalunya 10 hingga 15 minit selepas itu, pasti saya akan dapat panggilan telefon mengenai penemuan mayat.
Adakalanya masa saya tengah makan pun bau itu tiba-tiba boleh muncul. Bila dapat situasi seperti itu, saya akan tunggu saja. Saya tak akan maklumkan perkara tersebut kepada ahli keluarga saya. Takut mereka tak dapat nak terima. Selalunya tak lama lepas itu akan adalah panggilan telefon yang meminta saya datang ke lokasi penemuan mayat.

amidon3

MG: Adakah Tuan mengamalkan petua atau amalan tertentu bila menjalankan tugasan mencabar sebegini?

AA: Saya selalu dinasihatkan oleh orang tua-tua agar hormat pada mayat, tak kiralah mayat orang Islam atau bukan Islam. Perkara pertama yang saya akan buat tiba di lokasi pembunuhan adalah dengan menepuk bahu atau kaki mayat tersebut. Saya akan ‘minta izin’.
Antara ayat yang saya sering sebut pada mayat adalah – adik tolong abang, abang tolong adik.
Dan ternyata, tidak ada gangguan yang berlaku pada diri saya.
Namun yang peliknya, selepas saya pencen, semua petanda yang saya selalu dapat itu hilang dengan sendirinya.

MG: Bagaimana Tuan melihat masa depan sains forensik di negara kita?

AA: Saya tengok minat masyarakat dalam bidang forensik semakin bercambah. Dunia forensik ‘per say’ adalah siasatan. Dalam dunia siasatan, kita kena ada latarbelakang ilmu sains. Di universiti pun orang yang minat dalam forensik sangat ramai sampai kita terpaksa menapis kerana tak mahu ia sampai menjejaskan kualiti bidang berkenaan. Bila keluar drama TV CSI dalam TV, minat orang lagilah bertambah. Banyak universiti pun menawarkan kursus ini namun nak menjadi pakar, ia mengambil masa yang lama. Saya sendiri ambil masa berpuluh tahun.

MGF05122018_AMIDON ADNAN_12 (1)
Temubual eksklusif Malaysia Gazette bersama Bekas Ketua Siasatan Tempat Kejadian (CSI) PDRM, Supt (B) Amidon Adnan di Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 05 DISEMBER 2018

MG: Apa pendapat Tuan mengenai keputusan kabinet yang mahu menghapuskan hukuman bunuh terutama yang melibatkan jenayah kekerasan?

AA: Selama 25 tahun lamanya saya bertugas di bidang sains forensik dalam pasukan polis. Dalam banyak-banyak kes yang saya kendalikan, kebanyakan mangsa adalah wanita. Tak kiralah kes bunuh, samun, rogol atau apa saja. Saya akan bertemu mangsa sama ada dalam keadaan dia masih sedar, koma atau pun sudah menjadi mayat.
Kena ingat, sewaktu menjalankan tugas, saya tak semestinya memerlukan segumpal rambut, sehelai rambut pun dah cukup. Tak dapat sehelai rambut, sehelai bulu kemaluan pun dah cukup.
Jika ditanya pada saya mengenai keputusan kerajaan hendak menghapuskan hukuman mati, terus terang saya tidak bersetuju terutama jika ia membabitkan kes-kes kematian disebabkan pembunuhan.
Semua kes saya dah tengok.

MGF05122018_AMIDON ADNAN_02
Temubual eksklusif Malaysia Gazette bersama Bekas Ketua Siasatan Tempat Kejadian (CSI) PDRM, Supt (B) Amidon Adnan di Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 05 DISEMBER 2018

Saya ambil contoh kes rogol dan bunuh melibatkan kanak-kanak. Mangsa tidak tahu apa-apa tetapi mereka telah dirogol dan dibunuh dengan kejam. Bila kita periksa, kita akan tahu bahawa ‘kemasukan’ ini bukanlah rela, ini adalah kemasukan secara paksaan.
Tahukah anda betapa merananya mangsa-mangsa ini terutama kanak-kanak bila mereka dirogol oleh orang dewasa, adakalanya sengsara yang mereka tanggung sampai membawa kepada kematian. Bagi saya dengan kekejaman yang para penjenayah ini lakukan, hukuman mati adalah setimpal dan tetap relevan dengan perbuatan mereka.
Namun sekiranya pemansuhan hukuman mati itu melibatkan kes jenayah yang tidak melibatkan kecederaan pada tubuh badan, itu terpulang pada pihak kerajaan untuk menggubal perkara tersebut, tetapi jika sebaliknya, saya nak tanya balik, siapa pula nanti yang nak membela mangsa?
Saya bukan hendak berlawan dengan kerajaan tetapi fikirkanlah penderitaan yang ditanggung oleh mangsa, fikirlah airmata keluarga dan waris disebabkan perbuatan kejam si pelaku. Pendek kata, belum masanya untuk kita memansuhkan hukuman mati ini! – MalaysiaGazette

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=saaKOMuFg_0&w=640&h=360]

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast