KUALA LUMPUR – Iklan “aiskrim soya” yang dipromosikan syarikat perabot dan peralatan rumah terbesar Malaysia, IKEA menarik perhatian Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim.
Ahli Parlimen dari Pas itu menyifatkan, jaminan syarikat itu terhadap bahan pembuatan aiskrim berkenaan seperti “tidak mengandungi minyak sawit” sebagai berbaur diskriminasi terhadap industri minyak sawit negara.
Katanya, beliau membangkitkan isu itu berikutan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) telah menghantar surat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap poster iklan berkenaan.
“Saya minta Menteri Industri Utama, Teresa Kok memberi perhatian khusus kepada surat MPOA kepada KPDNHEP itu.
“Kata-kata dalam iklan IKEA itu jelas berbaur diskriminasi terhadap minyak sawit negara, sedangkan kita adalah pengeluar kedua terbesar dunia selepas Indonesia,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
IKEA mempromosi aiskrim soya yang 100 peratus berasaskan tumbuhan, bebas susu, tidak mengandungi tenusu, laktosa, minyak sawit, telur, kacang dan gluten.
Rangkaian syarikat perabot itu selain beroperasi di Damansara, turut membuka cawangan di Cheras, Tebrau di Johor dan terbaharu akan dibuka di Batu Kawan, Pulau Pinang tahun depan.
Menurut Ahmad Amzad, pengaruh IKEA begitu kuat dan mempunyai lebih daripada sejuta pelanggan serta peminat yang tersendiri.
“Iklan tersebut secara spesifik cuba mendiskriminasikan industri minyak sawit di Malaysia.
“Sedangkan, sawit adalah industri komoditi utama negara dan Malaysia pula menentang kempen pengharaman penggunaan minyak sawit oleh Kesatuan Eropah.
“Bagaimana di negara sendiri terdapat syarikat berpengaruh yang tidak menyokong atau mempamerkan label “tidak ada minyak sawit”? katanya. – MalaysiaGazette