Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, himpunan aman di ibu kota esok adalah bantahan rakyat menuntut janji dan menolak cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hendak meratifikasi ICERD.

Kata beliau, himpunan itu berbeza dengan BERSIH kerana agendanya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dari dicerobohi, sedangkan BERSIH mahu meruntuhkan kerajaan.

BERSIH juga katanya, tersirat dengan pelbagai elemen keganasan, pelanggaran arahan polis, dianjur tanpa permit, malah disertai peserta bertopeng yang ada agenda tertentu.

“Himpunan aman esok dibuat mengikut prosedur pihak berkuasa. Ada surat jemputan rasmi yang ditandatangan penganjur, ada kebenaran pihak berkuasa, malah lebih 100 peguam disediakan bagi memastikan pesertanya mematuhi perundangan.

Jika ada pihak lain cuba buat kekacauan atau menganiaya peserta himpunan, barisan peguam diketuai bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali akan melindungi peserta,” katanya dalam program FB Live Diskusi U3.0 Penerangan UMNO, semalam.

Menurut Annuar, rakyat tidak perlu takut untuk datang ke Dataran Merdeka esok kerana polis ada bersama mereka membantu menjaga keselamatan.

Beliau menyifatkan himpunan itu penting sebagai kebangkitan rakyat menentang “Malayan Union 2.0”, menyamai kebangkitan melawan penjajahan Malayan Union 1946.

Katanya, selama tujuh dekad, Perlembagaan Persekutuan terbukti berjaya menjadi acuan yang mengatur sosio ekonomi dan perpaduan kaum yang baik di Malaysia, sedangkan ICERD yang diratifikasi di sesetengah negara telah gagal menyelesaikan masalah diskriminasi kaum di negara berkenaan.

“Dengan tidak meratifikasi ICERD, adakah kita rugi apa-apa? Adakah GDP kita jatuh, adakah perpaduan kita terjejas, adakah kita mundur jika tidak tandatangan ICERD? Malah, kita berada dalam keadaan lebih baik daripada negara negara yang ratifikasi ICERD.

“ICERD ini umpama penjajahan moden yang mahu menceroboh Perlembagaan. Jadi, datanglah dan tunjukkan kita tidak bersetuju. Ramai-ramai pakai baju putih,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast