Datuk Nadzim Johan
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bersama bekas tukang masak sebuah restoran di Jepun bercakap pada sidang media mengenai " Halalkah Restoran di Jepun? " di Ibu Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 07 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang berada di luar negara khususnya di Jepun diingatkan agar lebih berwaspada dengan taktik pengusaha restoran yang menyediakan makanan tidak patuh Syariah dan menggunakan sijil halal palsu untuk menarik pelanggan Islam.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, meskipun pengusaha restoran mempamerkan sijil halal, namun orang Islam perlu memeriksa dengan teliti sebelum memesan hidangan.

“Sukan Olimpik 2020 akan diadakan di Jepun dan kita lihat Jepun amat sensitif kepada keperluan halal orang Islam, dia sediakan surau, makanan dan sebagainya.

“Ada perkara yang boleh memberi mudarat jika ia tidak dilihat sebaik mungkin ada rakan-rakan kita yang bekerja di Jepun sebagai chef yang ingin menyatakan kekhuatiran kita dan ia menjadi satu senario baru.

“Kalau keadaan ini tidak diperhati dengan baik maka kita takut orang Islam akan berdepan dengan keadaan makan atau minum dengan mencari tempat halal tapi dikhuatiri tidak halal,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan sekumpulan bekas tukang masak dari Malaysia yang bekerja di sebuah restoran di Osaka, Jepun mendakwa majikannya tidak mempunyai sijil halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malayisa (JAKIM).

sijil halal palsu osaka
Sijil halal palsu yang digunakan untuk menarik pelanggan Islam di sebuah restoran di Osaka, Jepun

Empat bekas tukang masak itu mendakwa, mereka diminta untuk memotong daging lembu di sebuah kilang pemprosesan daging yang bercampur dengan daging babi untuk dibawa ke premis halal itu.

Nadzim juga berkata, pihak Jakim perlu campur tangan dalam kemelut itu bagi membantu orang Islam di luar negara untuk mencari restoran halal yang diiktiraf dan patuh syariah.

“Mungkin perkara ini perlu diselaraskan atau dibantu oleh pihak Jakim bersama kerana kita mulakan industri yang teratur ini di sini.

“Kita minta Jakim membantu bagi menentukan orang yang pergi makan tempat yang benar-benar halal bagi mengelakkan orang Islam teraniaya.

“Kita minta pihak Jakim sediakan sistem yang lebih meyakinkan boleh periksa sijil halal melalui aplikasi atau sebagainya untuk tentukan sijil halal yang diperakui,” katanya.

Katanya lagi, rakyat Malaysia yang begitu sinonim dengan sijil atau logo halal Jakim, tiada jaminan mana-mana restoran di luar negara yang mempamerkan logo halal itu benar-benar patuh syariah.

“Sebagai orang Islam, walaupun ada sijil halal kalau terdetik dalam hati, maknanya kita kena periksa.

“Kita tengok tulisan ayat quran biasa di mana-mana restoran bukan Islam, jadi kita didik diri kita walaupun ada sijil halal, yang nak masuk kita, yang masuk dalam perut kita, yang menjawab juga kita.

“Kena bawa kesedaran, kalau tidak tengok sijil pun ragu-ragu, ada sijil belum tentu halal, tulisan halal pun buat sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette