Anggota bomba yang parah akibat diserang kumpulan perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya awal pagi 27 Nov lalu mula memberikan respons dengan menulis pada papan putih untuk berkomunikasi, menurut IJN. - foto SYAFIQ AMBAK, 28 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Anggota bomba yang parah akibat diserang kumpulan perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya awal pagi 27 Nov lalu mula memberikan respons dengan menulis pada papan putih untuk berkomunikasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata pihak Institut Jantung Negara (IJN) memaklumkan keadaan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim kini semakin pulih dan boleh bertindak balas dengan baik.

“Pihak IJN memaklumkan Muhammad Adib masih tidak boleh dilawati buat masa ini jadi saya menghormati perkara itu.

“Bagaimanapun, pakar perubatan sempat memberitahu perkembangan Muhammad Adib yang kini telah memberikan respons untuk berkomunikasi dengan menulis di papan putih,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di IJN, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mujahid menyampaikan wang sumbangan bagi mewakili Yayasan Taqwa di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid.

Sumbangan tersebut diharap dapat membantu keperluan keluarga Muhammad Adib sepanjang berada di IJN, menurut Mujahid.

Muhammad Adib, 24, sebelum ini dilaporkan parah diserang sekumpulan perusuh ketika terlibat dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 Nov lalu.

Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) itu dilaporkan semakin stabil dan kini menjalani rawatan rehabilitasi secara intensif.

IJN dalam satu kenyataan pada Rabu lepas memaklumkan untuk mengehadkan waktu melawat Muhammad Adib bagi memberi ruang kepadanya menjalani sesi fisioterapi tanpa diganggu selain mengelakkan jangkitan kuman.

Awal bulan ini, doktor telah pun menghentikan mesin sokongan jantung kepada Muhammad Adib apabila jantungnya telah mampu berfungsi sendiri.

Bagaimanapun, Muhammad Adib masih lagi bergantung kepada beberapa mesin sokongan untuk memastikan organ dalamannya dapat dipulihkan pada tahap optima.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast