Pengerusi Penganjur Perdana Anugerah Usahawan Muda India 2018, Mathuraiveran Marimuthu berucap pada Perdana Anugerah Usahawan Muda India 2018 di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mewujudkan institusi kewangan atau bank yang mempunyai rangka kerja seperti koperasi bagi membolehkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) India mendapat akses pembiayaan tanpa kompromi terhadap kualiti dan kredibiliti pemohon.

Pengerusi Koperasi Usahawan India Malaysia (MIEC), Mathuraiveran Marimuthu berkata, usahawan India perlu diberi akses yang munasabah dalam sistem pemerolehan kerajaan.

Menurutnya, dengan begitu banyak cabaran, banyak usahawan India yang berkebolehan dan layak sukar mendapat peluang.

“Sekarang ramai kontraktor India yang berkebolehan dan layak tidak dapat peluang untuk menyertai projek-projek kerajaan atas alasan mereka bukan syarikat besar.

“Lantaran itu, saya berharap kerajaan dapat melibatkan dan memberi peluang kepada kontraktor-kontraktor ini, selain mengumpul pangkalan data kontraktor-kontraktor yang berkebolehan dan berkemampuan supaya bakat-bakat mereka dapat membentuk satu konsortium ” katanya ketika berucap di majlis Anugerah Keusahawanan India Muda Perdana 2018.

Beliau percaya dengan kesungguhan itu, kek ekonomi negara dapat dikongsikan dengan lebih bermakna.

Dalam ucapannya, Mathuraiveran berkata, usahawan India pula perlu bersedia untuk disenaraikan di Pasaran Platform Pemecut Usahawab Utama (LEAP), pasaran utama (ACE) dan Bursa Malaysia.

“Kita percaya terdapat syarikat-syarikat usahawan India sudah matang atau dalam proses ke arah itu,” ujarnya sambil meminta kerajaan untuk membantu firma-firma berkenaan untuk disenaraikan.

Jika Bumiputera mempunyai Skim Jejak Jaya Bumiputera di bawah Teraju yang membantu syarikat-syarikat untuk disenaraikan, usahawan India juga sepatutnynya mempunyai platform yang sama di bawah Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC). – MalaysiaGazette