Chrystia Freeland

OTTAWA – Kanada memberi amaran kepada Amerika Syarikat agar tidak mempolitikkan kes ekstradisi membabitkan Ketua Pegawai Kewangan Huawei, Meng Wanzhou.

Menteri Luarnya, Chrystia Freeland berkata, tindakan itu akan menyukarkan seorang lagi rakyatnya di China.

Isnin lalu, Beijing telah menahan bekas diplomatnya, Michael Kovrig pada Isnin lalu namun identiti lelaki kedua yang ditahan tidak didedahkan.

China setakat ini tidak mengaitkan penahanan Kovrig dengan kes Meng yang ditahan di Vancouver pada 1 Disember lalu.

Tetapi pakar diplomatik Kanada mengatakan mereka tidak ragu-ragu bahawa kedua-dua kes itu ada berkaitan.

Meng ditahan selepas Kanada mendapat permohonan dari Amerika Syarikat. Wanita itu didakwa mengelirukan bank multinasional mengenai urus niaga berkaitan Iran, meletakkan bank-bank berisiko melanggar sekatan Amerika Syarikat.

Anak kepada pengasas Huawei itu telah dijamin semalam.

Amaran yang dikeluarkan oleh Freeland itu berpotensi menyaksikan ketegangan dalam hubungan Kanada-Amerika Syarikat yang sudah keruh lebih setahun lalu ekoran perbincangan mengenai rundingan perjanjian perdagangan baharu Amerika Utara.

Amerika Syarikat masih belum membuat petisyen rasmi ekstradisi kepada Kanada.

Jika permohonan dibuat dan sekiranya hakim Kanada bersetuju, Menteri Kehakiman perlu membuat keputusan sama ada untuk mengekstradisi Meng ke Amerika Syarikat atau sebaliknya.

Freeland melahirkan kebimbangan dengan kes Kovrig dan berkata, lelaki kedua telah menghubungi pihak berkuasa Kanada dan memaklumkan pihak berkuasa China telah soal siasatnya.

“Kami masih belum dapat menghubunginya sejak beliau memberitahu. Kami sedang berusaha keras untuk mendapatnya dan menyuarakan perkara ini kepada pihak berkuasa China,” ujarnya.- MalaysiaGazette