KUALA LUMPUR – Tarikh sebenar gambar beberapa pemimpin tertinggi UMNO bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi viral sejak malam tadi kini mula menjadi pertikaian.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), A. Kadir Jasin memaklumkan pertemuan itu berlangsung pada 22 Oktober lalu atas permintaan watak-watak dalam gambar itu.
Namun lain pula dengan penjelasan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau memberitahu ia adalah adalah foto lama yang dirakamkan pada awal September lalu.
Katanya, gambar itu diambil tiga bulan lalu ketika beliau dan beberapa pemimpin tertinggi parti bertemu Mahathir bagi menghalang tindakan mengharamkan UMNO.
ARTIKEL BERKAITAN: Tok Mat jumpa Tun M bukan dalang tapi halang UMNO diharamkan
ARTIKEL BERKAITAN: Pertemuan berlaku atas permintaan watak-watak dalam gambar – A. Kadir Jasin
Jelas Ahli Undangan Negeri Rantau itu, pertemuan itu juga bagi mendengar penjelasan Dr Mahathir tentang kenyataan yang dibuat di negara Uncle Sam itu bahawa UMNO akan berkubur.
Jadi siapakah yang bercakap benar tentang tarikh pertemuan itu? Ada yang mendakwa pertemuan tersebut berlangsung sebelum Pilih Raya Kecil (PRK) Port Dickson iaitu pada13 Oktober lalu.
Bagaimapun catatan Kadir di Facebook miliknya menyebut tarikh 22 Oktober lalu yang dilihat terdapat percanggahan waktu sebenarnya.
Bermula malam tadi, tersebar gambar di Facebook dan aplikasi WhatsApp menunjukkan Mohamad, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin makan malam bersama Mahathir.
Selain itu, gambar pemimpin berkenaan sedang menikmati makan malam juga turut dijadikan viral.
Ia menimbulkan spekulasi kononnya beberapa pemimpin UMNO kini dalam persiapan untuk keluar parti berkenaan apatah lagi UMNO Sabah terdiri daripada enam Ahli Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dua senator dan 21 Ketua UMNO Bahagian negeri mengumumkan keluar parti itu semalam.
Malah gambar itu menarik perhatian ramai pengguna laman sosial dan ada yang mendakwa ia adalah bukti terdapat pemimpin UMNO yang mahu keluar parti dan menganggap mereka mahu meminta pertolongan daripada Dr Mahathir.
Pada masa sama, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin turut sinis terhadap pertemuan itu dengan menyindir sambil menyifatkan ‘sekret’ (rahsia). – MalaysiaGazette