KUALA LUMPUR – UMNO kini semakin terhimpit. Semakin ramai pimpinannya berbondong-bondong sudah keluar parti termasuk dari Sabah baru-baru ini.

Siapa sangka Datuk Seri Salleh Keruak salah daripadanya namun itulah politik yang kesannya tidak dijangka.

Memang UMNO tidak akan diharamkan namun ia nampaknya semakin mati dari dalam jika senario keluar beramai-ramai berterusan.

Jika pemimpin parti keluar sudah pasti mereka membawa para penyokongnya sekali dan ini memberi impak kepada peringkat bawahan.

Apa pun sekali alasannya baik demi pengundi dan rakyat namun ramai melihatnya keutamaannya ialah survival politik.

Keadaan makin meruncing apabila ada pihak mula mempertikaikan kredibiliti kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dari luar dan dalam parti.

Apa yang berlaku sekarang seakan-akan ‘membenarkan’ teori mengatakan wakil rakyat UMNO diperlukan bagi talian hayat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ini kerana rata-rata wakil rakyat UMNO yang keluar satu-satu menyertai parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Menurut sumber, melalui cara ini sahaja, PPBM akan menjadi kuat kerana secara strukturnya PPBM adalah kecil berbanding rakan Pakatan Harapan lain terutama DAP dan PKR.

Memandang perjuangannya sama dengan UMNO termasuk keahliannya mesti Melayu dan bumiputera salah satu cara ialah ‘menyedut’ wakil rakyat UMNO seorang demi seorang.

Pucuk pimpinan PPBM mungkin bimbang selepas Tun M tidak lagi menjadi Perdana Menteri, untung nasib parti itu tidak menentu memandangkan bilangan wakil rakyat mereka tidak seberapa.

Bekas ahli UMNO itu mungkin tidak diberi sebarang jawatan penting sekarang namun dalam jangka masa panjang ia dapat menyaingi suara dalam PH.

Proses yang sama juga berlaku di peringkat bahagia dan cawangan sekarang dan tidak ada cara lain PPBM terpaksa menerima bekas ahli UMNO.

UMNO dulu pernah diharamkan dan kini mungkin ‘mati’ selepas ini.

Namun perlu diingat PPBM dalam bahasa Inggeris ialah United Malay Native Organisation atau singkatannya juga UMNO cuma beza pada native dan national sahaja pada UMNO sekarang.

Nama itu sudah pasti bukan dipilih secara rawak dan tentu ada sebab.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast