Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Perdagangan dan pelaburan negara telah terdedah kepada faktor dalaman dan luaran sejak 2017, yang menyebabkan ramai pelabur tidak memasuki pasaran.

Ia terutamanya semasa tempoh sebelum dan selepas pilihan raya umum ke-14, walaupun keadaan telah mereda sekarang dan hala tuju negara telah nampak lebih jelas lagi.

Bagi mengekalkan kehadiran pelabur, mustahak bagi kerajaan untuk menyediakan persekitaran yang akomodatif bagi mereka dan mengelak untuk melakukan terlalu banyak pusingan-U yang boleh menjejaskan keyakinan mereka untuk membuat keputusan pelaburan jangka panjang, kata Presiden Persatuan Pelabur Malaysia (MIA) Ho Choy Meng.

“Pasaran boleh menerima pusingan-U sekiranya hala tuju awal adalah salah.

“Tetapi terlalu banyak pusingan-U akan menjejaskan keyakinan pelabur untuk membuat keputusan dan terlalu banyak kesilapan yang memudaratkan tidak boleh berpatah balik,” katanya kepada bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata MIA juga melihat persekitaran mencabar tahun depan dengan banyak faktor luaran dan dalaman yang akan menjejaskan sentimen pelaburan.

Ho berkata ramai pelabur yang sebenarnya telah keluar dari pasaran menjelang pilihan raya pada 9 Mei dan mereka bersyukur tidak memasuki Bursa Malaysia dengan segera selepasnya, sebaliknya menunggu petunjuk baharu untuk membuat keputusan pelaburan.

“Angka kurang menggalakkan. Terlalu banyak kes skandal dan rasuah telah menjejaskan sentimen pelabur termasuk kerugian 1Malaysia Development Bhd dan pakej gaji syarikat berkaitan kerajaan yang terlalu tinggi meskipun mengalami kerugian.

“Jumlah besar kecurian yang tidak pernah berlaku sebelum ini disebabkan rasuah dan bentuk ketirisan kewangan lain adalah amat mengejutkan.

“Pelabur masih lagi terkejut daripada kejutan trilion ringgit (hutang dan liabiliti) yang tidak ditentukur,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan kepada interaksi antara MIA dengan ramai jurucakap misi pelaburan asing di ibu kota, minat asing masih lagi kekal kerana mereka gembira dengan peralihan kepada kerajaan baharu yang berlaku secara aman dan tanpa gangguan.

“Setiap kali, mereka memberi jaminan yang negara mereka akan kembali untuk melabur dalam sektor perindustrian kita dan mungkin meningkatkan kuantum pelaburan mereka,” katanya.

Menurut Ho, faktor-faktor luaran menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata Malaysia mengalami kesan negatif daripada penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS dan mata wang global lain, sambil memberi contoh ringgit turun ke paras 4.1640 berbanding dolar AS pada 7 Dis, 2018, berbanding kadar pertukaran 4.0594 pada awal tahun.

Beliau yang mengingatkan kepada entiti tempatan agar tidak cepat selesa bagi tempoh jangka panjang berkata, berita positif ketika ini dan laporan ekonomi yang memuji kedudukan ekonomi Malaysia gagal untuk melonjakkan petunjuk pasaran FBM KLCI ke paras tinggi baharu.

“Jadi nampaknya prestasi pasaran saham kita akan kekal kurang memberangsangkan sehingga aktiviti memperelokkan akaun pada akhir tahun yang ditunggu-tunggu apabila kaunter individu berusaha menggerakkan kaunter mereka untuk ditutup di paras yang lebih tinggi bagi mencerminkan gambaran yang lebih baik dalam laporan tahunan mereka,” kata Ho.

Beliau juga berkata MIA tidak bersetuju dengan penilaian prospek ekonomi Malaysia oleh Moody’s Investors Service, terutamanya berkaitan dengan prasa “sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berdaya saing di peringkat global.”

Menurutnya, MIA percaya bahawa Malaysia perlahan-lahan kehilangan daya saingnya berbanding negara rantau ASEAN – antaranya, Vietnam dan Indonesia – yang mengatasi Malaysia dalam menarik peluang yang sama terhadap pelaburan langsung asing.

“Pelabur mengharapkan keuntungan modal. Mereka mahukan bayaran dividen yang bagus daripada kaunter di mana mereka melabur.

“Wujud banyak kekecewaan dan kejutan terhadap Telekom Malaysia and KLCC Property, yang mana prestasi mereka agak teruk menyebabkan kedudukan mereka di FBM KLCI pada masa ini diganti oleh AMMB dan Top Glove.

“Namun, sebelum pelabur mengalu-alukan dengan sepenuhnya peserta baharu, laporan yang tidak memberangsangkan keluar,” keluhnya.

FBM KLCI meningkat ke paras tertingginya dalam tempoh 52 minggu kepada 1,896,03 pada 20 April, sebelum menjunam ke paras 1,657.78 pada 28 Jun, merekodkan penurunan 12.56 peratus pada tahun ini.

Jelasnya, secara konservatif, FBM KLCI mungkin berada dalam jajaran 1,680 dan 1,780 mata pada 2019.

Bagaimanapun, ini semua bergantung kepada keyakinan pelabur, kestabilan politik dan perubahan dasar yang minimum atau dasar kerajaan yang ‘flip-flop’, untuk meminimumkan gangguan terhadap operasi perniagaan jangka panjang.

“Kaunter yang perlu diperhatikan tahun depan adalah insurans dan saham berkaitan penjagaan kesihatan,” tambahnya.

Berhubung isu membabitkan kuil Sri Maha Mariamman, beliau mengingatkan bahawa, sentimen pasaran dan keyakinan adalah komoditi yang rapuh yang perlu ditangani dengan berhati-hati.

“Selepas menyaksikan 100 hari pertama kerajaan Pakatan Harapan, pelabur mula menyesuaikan dasar pelaburan mereka untuk memenuhi paradigma baharu.

“Insiden di kuil Sri Maha Mariamman, membabitkan perselisihan antara pemilik baharu dengan penjaga terdahulu kuil berkenaan, yang dieksploitasi menjadi pertembungan kaum. Laporan yang salah dan fakta yang diputar belit boleh memberi kesan kepada keyakinan pelabur dalam menanam modal di Malaysia,” tegasnya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai, berkata kekecohan yang berlaku itu tiada kaitan dengan perniagaan dan pelaburan, justeru ia harus dilihat sebagai kes terpencil salah faham berhubung perpindahan daripada tanah persendirian

“Untuk itu, FMM berpandangan bahawa sentimen perniagaan tidak terjejas dan tidak melihat pelabur meninggalkan Malaysia dan menukar persepsi mereka seterusnya terhadap Malaysia berhubung perkara ini,” tambahnya.

Bagaimanapun, meletakkan ke tepi masalah itu, Soh menyatakan bahawa, FMM mengadakan hubungan yang rapat dengan kerajaan terhadap beberapa isu tertunggak dan baharu yang mana dapat memastikan suasana perniagaan yang lebih kondusif untuk industri.

Satu contoh adalah kos tenaga. Katanya, notis secara berkala dan mencukupi berhubung rasionalisasi subsidi untuk gas asli adalah perlu kerana ia mempunyai kesan langsung terhadap tarif elektrik.

“Selain itu, kerajaan mesti mengawal selia sektor logistik kerana ia akan menangani isu pengenaan satu pihak pelbagai caj sampingan oleh penyedia perkhidmatan logistik dan pengendali depot,” tambahnya.

— BERNAMA