IJN
Pengerusi Kumpulan Dana Yayasan Institut Jantung Negara (IJN), Datin Julini Mohd Ali bersama Pengurus Besar Nu Skin Malaysia dan Brunei, David Cheong bergambar kenangan bersama peserta dan kanak-kanak yang hadir pada Program Projek Senarai Harapan 2018 di Lobi Utama, Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Pernah memasuki Unit Rawatan Rapi (ICU) di Institut Jantung Negara (IJN), kanak-kanak berumur tiga tahun Chamyuchen tidak disangka ibunya akan kembali sihat seperti hari ini.

Dengan keadaan serba kekurangan, tidak mempunyai pekerjaan dan bergantung sepenuhnya kepada suami yang hanya menjana rezeki dengan menghantar ais ke pasar dan restoran, Eun Sauw Yen, 36, sangat gembira apabila melihat anaknya kembali pulih dan ceria sekarang.

“Dia masuk IJN masa umur sebulan setengah, sebelum ini dia dimasukkan di hospital di Klang. Kemudian pindah di IJN masuk ICU,”katanya kepada MalaysiaGazette.

Eun juga terharu apabila kanak-kanak yang sebelum ini mendapat pembiayaan rawatan percuma daripada NU Skin Malaysia dan Yayasan IJN masih menjadi perhatian malah turut diraikan dalam Majlis Senarai Harapan NU Skin 2018 di IJN hari ini.

“Saya ucap terima kasih kerana (rawatan) sudah dibiayai,”katanya lagi.

Anak kecilnya itu didapati8 menghadapi masalah jantung berlubang sejak dilahirkan dan kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di IJN dua tahun lalu.

Sementara itu, Noor Hidayah Abd Rahman, 30, tidak menyangka anaknya Nur Summaya Mohamad Shahrizan berjaya sembuh walaupun baru sebulan menjalani pembedahan jantung.

IJN
Noor Hidayah Abdul Rahman bersama anaknya, Nur Summaya Mohamad Shahrizan bergambar bersama basikal pada Program Projek Senarai Harapan 2018 di Lobi Utama, Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 DISEMBER 2018

Dengan kos mencecah RM23,000, Noor Hidayah yang mampu membiayai rawatan berfikir anaknya tidak akan dapat sembuh seperti hari ini.

Namun beliau seakan bermimpi apabila melihat anaknya kembali aktif dan membesar sebagai kanak-kanak yang sihat.

“Baru lepas pembedahan belum sebulan tapi sekarang dah boleh main, gembiralah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast