KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) khasnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) diminta jangan sesekali cuba mendiamkan MIC daripada terus bersuara lantang.
Kenyataan bahawa PH adalah kerajaan dan MIC sudah tidak lagi berkuasa sehingga perlu mendiamkan diri adalah ‘mengarut’.
Menurut Ahli Jawatankuasa Pusat (MIC), Sathasivam Kalimuthu, partinya akan terus lantang menyuarakan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat khasnya berkaitan dengan masyarakat India di negara ini.
“Suka atau tidak, kami akan bersuara. Jangan ingat kami akan lepaskan kerajaan yang ada kini untuk bebas melakukan apa-apa tanpa ‘semak dan imbang’.
“Memang benar anda adalah kerajaan ketika ini kerana rakyat sudah mengundi anda, tetapi ingat rata-rata menang kerana pelbagai janji bulan bintang yang sukar di capai serta tohmahan sehingga menyebabkan rakyat memberi kemenangan kepada anda.
“Tugas kami ketika ini adalah memastikan setiap yang dikatakan oleh anda itu disampaikan serta ditunaikan walauapapun yang berlaku. Jangan kamu memandai meminta kami diam dan biarkan kamu berbuat apa sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.
Sathasivam mengulas kenyataan bekas Timbalan Ketua Penerangan PKR Selangor, Gunasekaran Kuppan yang berkata, MIC sepatutnya mendiamkan diri dan membiarkan sahaja kerajaan yang ada menyelesaikan isu kuil Seafields di Subang Jaya tanpa mempolitikkan perkara tersebut.
“Cukup-cukuplah MIC. Bukankah anda sudah berkuasa selama lebih 60 tahun? Kini anda bukan lagi mempunyai kuasa bukan? Jika benar anda sungguh lantang dan hebat memperjuangkan nasib rakyat, anda tidak akan kalah sebegini teruk. Ternyata sudah tidak diterima lagi,” kata Gunasekaran.
Jelas Sathasivam, isu kuil Sri Maha Mariamman di Seafields sebenarnya telah membuka mata pelbagai pihak untuk diberikan keadilan sejak 10 tahun lepas yang ketika itu juga di bawah kuasa PKR.
“Jangan cuba bangkitkan jasa kami, Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Khalid atau Datuk Seri Azmin Ali dan kini Amiruddin, tidak mampu menyelesaikan perkara itu.
“Apabila semua pihak bangkit berjuang mempertahankan hak mereka dan tidak membenarkan kuil itu di robohkan oleh pemaju, jangan lupa Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri akui peguam pemaju telah menghantar sekumpulan orang membuat kekecohan sehingga membangkitkan kemarahan.
“Hanya selepas itu anda semua cuba mencari alternatif apabila semua rata-rata hilang sabar, selama bertahun mereka cuba mencari jalan penyelesaian.
“Apabila Peguam Negara, Tommy Thomas memberikan khabar gembira tapak kuil akan diberikan kembali kami dengan mengikut peruntukan undang-undang, mengapa pula Amirudin memberi ‘syarat’ selain menjadi jurucakap pemaju? Itu yang kami minta beliau diam dan biarkan sahaja Tommy selesaikan isu tersebut.
“Nasihat kami satu sahaja, kerajaan PH dan PKR cuba politikkan isu. Kepada Amiruddin juga, jangan campur atau keluarkan kenyataan-kenyataan mengelirukan atau menimbulkan keresahan,” tegasnya.
Kelmarin Tommy Thomas mengumumkan pemaju bersetuju untuk memindahkan tanah itu kepada amanah yang ditadbir Mahkamah Tinggi sebelum dipindahkan kepada pemegang amanah yang akan dilantik.
Pampasan itu diberikan pemaju selepas pemegang amanah sebelum ini setuju untuk memindahkan kuil itu.
Susulan daripada pengumuman itu, Amirudin mahu pihak Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield memulangkan wang pampasan RM1.5 juta dan tapak baru seekar yang diberikan sebelum ini kembali kepada pemaju. -MalaysiaGazette