KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menandatangani pembelian fasa dua hartanah komersial Stesen Tenaga Battersea (BPS) pada harga RM8.351 bilion (1.583 bilion pound).

Perjanjian itu telah ditandatangani pada 14 Disember lalu.

Pembelian daripada Battersea Phase 2 Holding Company Limited (BP2HCL) itu memuktamadkan rundingan rancangan pembelian hartanah tersebut yang telah dimulakan sejak Januari tahun ini melalui PNB-Kwasa International 2 Limited, syarikat bertujuan khas yang dibentuk untuk urus niaga itu.

BP2HCL adalah anak syarikat milik Battersea Project Holding Company Limited (BPHCL) yang dimiliki oleh konsortium yang dipegang oleh SP Setia Berhad (yang menguasai 40 peratus kepentingan), Sime Darbu Property Berhad (40 peratus) dan KWSP (20 peratus).

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh PNB dan KWSP.

Menurutnya, fasa kedua hartanah komersial itu merupakan sebahagian daripada bangunan ikonik Stesen Tenaga dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun 2020 dan dibuka kepada awam pada 2021.

Kawasan komersial yang dibeli itu terdiri daripada ruang pejabat utama seluas 540,000 kaki persegi, 420,000 kaki persegi untuk premis runcit, makanan &  minuman dan kawasan lapang untuk ruang acara.

Katanya, 500,000 kaki persegi ruang pejabat telah dipajak kepada Apple untuk kampus London yang baharu.

Dengan cerobong terkenal di dunia yang akan memberi pengalaman menaiki lif – bakal menjadi daya tarikan yang serupa dengan The London Eye.

Projek BPS itu dijangka menarik 40 juta pelawat setahun apabila siap kelak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pengambilalihan itu membolehkan institusi tersebut menyatukan pemilikan strategiknya dalam pembangunan ikonik dan utama di tengah London.

Pelaburan itu bakal memberi aliran pendapatan yang mampan dan peningkatan potensi modal pada masa depan.

“Pelaburan yang dicadangkan juga telah distrukturkan dengan teliti bagi memastikan transaksi yang dicadangkan memenuhi kriteria pelaburan yang ketat PNB,” katanya dalam kenyataan itu.

Di bawah terma pengambilalihan itu, PNB-Kwasa International 2 Limited diberikan hasil minimum yang dijamin oleh BPS sepanjang tempoh pembinaan dan sehingga 5 tahun selepas pasca siap dengan mekanisme penyesuaian harga untuk sebarang perbezaan dalam pendapatan sewa sebenar berbanding unjuran.

Ini akan memastikan perlindungan kerugian kepada PNB dan KWSP, selain membolehkan penjual menerima pembayaran tambahan dalam pembangunan sekiranya pendapatan sewa sebenar lebih baik daripada yang dijangkakan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata, dengan potensi fasa dua hartanah komersial itu dapat menghasilkan pendapatan mampan dan sewa jangka panjang untuk KWSP.

“Kita juga menjangkakan pembangunan ini akan mendapat manfaat daripada peluasan London Underground
Northern Line, yang bakal memberikan akses lebih baik untuk meremajakan kawasan itu menjadi pusat perniagaan dan gaya hidup yang baharu,” katanya.

Menurut beliau, urus niaga yang dicadangkan adalah tertakluk kepada beberapa syarat terdahulu seperti pembiayaan
dan kelulusan berkaitan yang lain dan disasarkan untuk disiapkan pada suku tahun pertama 2019. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast