Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan pemimpin tertentu yang hendak berbicara mengenai Nabi Muhammad agar menjaga ungkapan yang digunakan, termasuk membuat semakan terhadap nas dan riwayat dengan teliti.

Katanya, mereka harus berhati-hati apabila berbicara mengenai Rasulullah SAW kerana ada akidah yang mesti dipercayai bahawa Baginda hanya berjanji apa yang Allah khabar kepadanya.

Menurut beliau, mustahil Allah mewahyukan sesuatu janji kemudian tidak dapat berlaku.

“Nasihat saya, berhati-hati apabila berbicara mengenai Rasulullah SAW. Hendaklah kita tahu di zaman ini dan dalam negara kita ada muslim yang kurang berpengetahuan dan masyarakat bukan muslim yang boleh tersalah faham terhadap Nabi kita Muhammad jika kita tersalah memberikan maklumat.

“Bagi pihak yang tersilap atau tersasul, sila betulkan kenyataan dalam hal berkenaan. Semoga Allah bimbing kita semua,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Samad kelmarin, yang melaporkan Nabi pun pernah tidak dapat menunaikan janji, apatah lagi manusia biasa.

Jelas Menteri Wilayah Persekutuan itu, kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji itu bukanlah disengajakan, sebaliknya akibat kekangan semasa iaitu kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi.

Berhubung isu apakah Pesuruh Allah Nabi Muhammad pernah terpaksa tidak menunaikan janji Baginda untuk membawa para sahabat umrah ketika tahun Perjanjian Hudaibiyah, Dr Mohd Asri yang lebih dikenali dengan panggilan MAZA berkata, umat Islam perlu yakin Baginda tidak pernah mungkir janji.

“Ya, Baginda memang pernah berjanji ataupun memberitahu bahawa Baginda dan para sahabat akan dapat bertawaf di Kaabah.

“Namun, Baginda tidak pernah memberitahu tahun tertentu. Apabila Umar bin al-Khattab tidak puas hati dengan keputusan Nabi SAW berdamai dengan Quraisy dan tidak menerusi hasrat umrah pada tahun Perjanjian Hudaibiyah, Baginda telah menjawab hal tersebut,” katanya.

Beliau menterjemahkan dialog antara Umar dan Nabi Muhammad dalam riwayat Sahih al-Bukhari dan Muslim mengenai hal tersebut:

“Kata Umar: Tidakkah engkau telah memberitahu kami bahawa kita akan datang ke Kaabah lalu bertawaf mengelilinginya?

“Jawab Nabi Muhammad: Bahkan. Namun apakah aku memberitahu engkau bahawa kita akan datang pada tahun ini?”

“Jawab Umar: Tidak.

“Sabda Nabi SAW: Sesungguhnya engkau pasti akan datang ke Kaabah dan bertawaf.

“Ertinya, tiada sebarang janji Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa itu yang tidak tertunai. Bahkan janji Baginda tertunai di mana selepas itu Baginda dan para sahabat kembali semula menunaikan umrah,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast