Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) turut bersedih dengan pemergian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.41 malam tadi.

Seluruh warga pertubuhan Melayu itu mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin dan mengharapkan keluarganya bersabar menerima dugaan dan ketentuan Allah.

Menurut Presidennya, Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali, Perkasa mendesak kerajaan menubuhkan segera prosiding siasatan diraja (RCI) bagi memutuskan siapa pembunuh Muhammad Adib dan menerima hukuman setimpal.

“Memandangkan mereka yang bertanggungjawab ini sudah dilepaskan oleh hukuman ringan di mahkamah beberapa hari lalu, wajar RCI ditubuhkan untuk menyiasat secara terperinci,” katanya dalam ucapan takziah di atas kematian anggota Bomba dan Penyelamat itu malam tadi.

Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Jelas Dr Ibrahim, kerajaan boleh menubuhkan RCI demi keadilan Allahyarham Muhammad Adin seperti mana kes kematian Teoh Beng Hock.

“Jika kes ini berlaku kepada orang bukan Melayu pasti riuh rendah desakan untuk tubuh RCI.

“Serentak itu, Perkasa mendesak kerajaan mengumumkan penubuhan RCI bagi menyiasat kematian Muhammad Adib dalam tempoh 48 jam,” katanya.

Katanya, siapa yang bertanggungjawab mesti menerima hukuman setimpal dan tidak perlu ada alasan lagi oleh kerajaan untuk menolak penubuhan suruhanjaya siasatan diraja itu bagi menyiasat kematian Allahyarham.

“Ya Allah, rahmatilah ke atas roh Allahyarham Muhamad Adib Mohd Kassim,” doanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast