KUALA LUMPUR – Satu daripada lima kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah bantut yang merupakan petunjuk utama kekurangan nutrisi.
Menurut Bank Dunia, kadar tersebut meletakkan Malaysia di kedudukan lebih tinggi berbanding negara-negara lain yang mempunyai paras pendapatan yang sama.
Katanya, analisis lebih lanjut perlu dilakukan untuk memahami masalah bantut di Malaysia di samping mencari dasar terbaik dan berkensan untuk mengatasinya.
“Melainkan Malaysia mampu mengatasi masalah bantut dengan berkesan, isu ini akan terus menjadi penghalang kepada peningkatan modal insan dan produktiviti dalam jangka masa panjang.
“Terdapat banyak bukti yang menunjukkan masalah bantut semasa zaman awal kanak-kanak akan menghadkan perkembangan fizikal dan kognitif kanak-kanak dan ia akan memberi kesan kepada kehidupan mereka termasuk produktiviti apabila dewasa kelak,” kata Bank Dunia dalam laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia: Merealisasikan Potensi Insan yang dilancarkan hari ini.
Bank Dunia mencadangkan supaya pemahaman yang lebih mendalam dilakukan menerusi analisis terperinci terhadap data-data sedia ada ditambah dengan analisis kualititif bagi menentukan faktor persekitaran, sikap dan budaya yang menjadi penyumbang kepada kekurangan nutrisi.
Semakan menyeluruh termasuk intervensi dari segi nutrisi serta strategi pelbagai sektor seperti yang pernah dilakukan di Peru mungkin mampu membantu Malaysia mengurangkan kadar masalah bantut.
Malaysia mempunyai Pelan Tindakan Nutrisi Kebangsaan (2016-2025) yang memberi fokus kepada menambah baik keselamatan makanan dan zat di samping mensasarkan untuk meningkatkan akses dan penggunan makanan.
Pelan tersebut dibina di atas beberapa inisiatif termasuk mempromosikan penyusuan ibu dan dalam masa yang sama mencari jalan untuk mengatasi cabaran-cabaran yang telah dikenal pasti semasa pelan sebelumnya (2006-2015) seperti kekurangan pembiayaan, pekerja dan sistem pemantauan dan penilaian yang teruk. – MalaysiaGazette