KUALA LUMPUR – Seramai 245 keluarga dari lima ladang di Kuala Selangor dan Hulu Selangor meminta Tan Sri Vincent Tan menyediakan kawasan tambahan seluas 8 ekar untuk pembinaan rumah teres kos rendah untuk mereka.
Kesemua penduduk itu adalah dari Ladang Bukit Tagar, Ladang Nigel Gardner, Ladang Mary, Ladang Minyak dan Ladang Sungai Tinggi yang hadir ke pejabat Berjaya yang terletak di Berjaya Times Square untuk menyerahkan surat tuntutan tanah tambahan itu.
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S. Arutchelvan yang mewakili penduduk itu berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Vincent Tan meminta tokoh korporat itu menunaikan janjinya untuk enyediakan rumah kos rendah kepada empat generasi pekerja ladang itu.
Katanya, isu itu telah tercetus sejak 1999 iaitu sejak exco kerajaan terdahulu sehingga kini dikendalikan Dr. Xavier Jayakumar telah mengenalpasti tanah untuk pembinaan rumah pekerja ladang terbabit.
“Manakala pada 2014 (syarikat) Berjaya telah memberi surat aku janji untuk menyediakan rumah kos rendah untuk semua pekerja di sini.
“Saya nak jelaskan bahawa Berjaya sebelum ini sudah memberikan 12.75 ekar tanah yang mana tidak cukup untuk membina rumah teres, jadi kita cuma minta supaya ditambah lapan ekar lagi.
“Dulu Berjaya pernah membeli 16,000 ekar tanah dan saya rasa tidak ada masalah untuk mereka menyediakan 20 ekar sahaja untuk pembinaan rumah teres kos rendah untuk pekerja ladang kami ini,” katanya dalam sidang media di pekarangan pusat membeli belah, Berjaya Times Square di sini hari.
Menurutnya, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar pernah menjanjikan pembinaan rumah town house namun pihaknya menolak cadangan tersebut pada Mac lalu.
Tambah beliau, penduduk ladang itu tidak sesuai untuk menduduki rumah flat atau town house mereka turut menternak haiwan peliharaan.
“Pada masa yang sama Jabatan Perumahan Negara juga menyatakan kekesalan kerana tanah 12.75 ekar tidak mencukupi untuk pembinaan rumah manakala kerajaan negeri pula menafikan kelulusan sebarang tanah untuk tujuan itu selepas Noh Omar mengumumkan projek rumah teres untuk kami.
“Sebab itu kami tanpa permintaan Tan Sri Vincent datang sendiri untuk mengemukakan tuntutan 8 ekar tanah lagi.
“Kami merasakan ini adalah perkara kecil untuk Tan Sri Vincent dan tidak akan ada masalah untuk menyediakan taah tersebut.
Dalam pada itu Penolong Pengurus Besar Bahagian Perhubungan Strategik, Berjaya Corporation Berhad, Mohamed Syairoz Mohd Odman mengesahkan pihaknya menerima surat daripada wakil jawatankuasa penduduk lima ladang dari Selangor itu.
“Saya nak mengesahkan menerima surat daripada penduduk lima ladang itu dan akan diserahkan kepada Tan Sri Vincent untuk diteliti lanjut dan membuat keputusannya dalam perkara ini.
“Saya akan membawa kepada Tan Sri dan akan memberi maklumbalas kepada penduduk yang terlibat kelak, tapi tidak ada tempoh masa bila agaknya akan membalas surat itu,” katanya. – MalaysiaGazette