KUALA LUMPUR – Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) digesa berhenti daripada terus menganjurkan perhimpunan aman di seluruh negara dan tidak melibatkan pemandu teksi dengan agenda peribadi pihak tertentu.
Penasihat syarikat Big Blue Capital Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, tindakan GTSM hanya akan menjatuhkan martabat pemandu teksi sedangkan kerajaan sudah memberi jaminan untuk menyelesaikan persaingan tidak sihat dalam perkhidmatan e-panggilan.
“Saya berasa sedih hanya kerana perjuangan peribadi saudara Kamaruddin Husaain (Presiden GTSM) yang menarik pemandu-pemandu teksi untuk ikut sama. Pada saya ia satu kegagalan bukan memulihkan nama baik pemandu teksi malah menjatuhkan maruah.
“Pemandu teksi ada maruah, walaupun kita berdemo, kita buat perhimpunan besar-besaran dulu, kita tak buat demo kerana peribadi, kita buat perhimpunan kerana kita inginkan pembelaan terhadap pemandu teksi.
“Bagaimana pihak menteri telah memberi jaminan kepada saya yang beliau tidak akan menutup periuk nasi pemandu teksi. Malahan menteri tidak memberi muka kepada pemandu-pemandu terutamanya pemandu Grab, itulah yang dijanjikan oleh menteri,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Beliau mengulas tindakan GTMS yang menganjurkan perhimpunan aman pemandu teksi, kereta sewa limosin dan teksi lapangan terbang di Padang Merbok, Kedah hari ini.
Perhimpunan itu antara lain mendesak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke supaya peraturan e-panggilan dirombak dan dipinda semula bagi mewujudkan kesamarataan dalam kalangan pemandu teksi di negara ini.
Perhimpunan anjuran GTSM itu, Kamarudin turut membantah tindakan kerajaan yang mahu memberikan permit kepada syarikat e-panggilan dan bukannya pemandu.
Shamsubahrin juga berkata, sepatutnya GTMS memberi kerjasama kepada pihak kerajaan dalam usaha untuk mendaftarkan pemandu e-panggilan khususnya Grab mulai 1 Januari 2019.
“Jadi saya tak tahu lagi apa yang saudara Kamal ini nak lagi atau pemandu teksi bawah dia nak lagi. Pada saya perhimpunan aman yang dilakukan itu memalu dan menjatuhkan martabat pemandu teksi lain.
“Saya mahu saudara Kamarudin duduk diam-diam dengan pemandu teksi untuk menyelaraskan e-panggilan dan juga melaksanakan e-hailing dengan baik.
“Ini bagi membolehkanpelanggan menggunakan perkhidmatan teksi melalui e-panggilan dan bukan lagi perkhidmatan Grab, itu yang kita nak sekarang dan menteri sanggup beri kerjasama,” katanya.
Shamsubahrin berkata lagi, komitmen kerajaan terhadap pemandu teksi boleh dilihat sejak dua minggu lalu yang melancarkan beberapa aplikasi e-panggilan milik syarikat swasta Malaysia untuk manfaat pemandu teksi.
“Saya tengok menteri sudah mula memberi sokongan penuh kepada pemandu-pemandu teksi untuk menggunakan dan membela e-panggilan untuk pemandu teksi.
“Jadi pemandu teksi harus bersiap sedia untuk menghadapi peperangan pasaran e-panggilan yang akan bermula pada 1 Januari 2019.
“Menteri juga telah memberi jaminan setiap laporan dan bukti kukuh mengenai penipuan pemasaran Grab seperti menipu harga teksi lagi mahal daripada harga Grab dalam sistemnya diminta dilaporkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ahh kau ni memang balaci