Punithan Paramsiven

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang sentiasa menerima kecaman pelbagai pihak terutamanya pembangkang kerana seringkali membuat ‘kacau’ dalam Parlimen diseru untuk menutup mulut daripada terus melakukan provokasi tidak berfaedah.

Terbaru, Rayer telah mengeluarkan kenyataan bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Sivarraajh Chandran tidak boleh bertanding sekali lagi kerana telah hilang kelayakan selepas didapati bersalah sehingga terbatal kemenangannya di kerusi berkenaan.

Ahli Jawatankuasa Pusat, Punithan Paramsiven berkata, Rayer sepatutnya belajar menghormati undang-undang terlebih dahulu dan tidak menjadi jurucakap kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Kata Punithan, Rayer walaupun seorang pengamal undang-undang, namun sebelum ini telah tersilap dengan menuduh Sivarrajh tidak layak berada ketika sesi Dewan Rakyat walaupun tempoh 14 hari itu belum tamat.

“Ingat tidak kekecohan yang anda lakukan sebelum ini sehingga mengelirukan wakil rakyat berhubung dakwaan Sivarraajh tidak layak untuk berada dalam Dewan? Sehingga menyebabkan Yang Dipertua Dewan juga terkeliru kononnya Sivarrajh adalah ‘wakil rakyat asing’ dan tidak boleh berada Dewan?

“Insiden itu menyebabkan rata-rata pembangkang terpaksa memboikot Dewan, selain daripada kekecohan berterusan sehingga membuang masa selama beberapa hari? Hasilnya, Speker telah menarik balik ‘ruling’ dan membenarkan beliau kembali ke Dewan sehingga pengosongan itu digazetkan.

“Kini anda keluarkan lagi teori ‘songsang’ kononnya beliau tidak boleh bertanding? Apa masalah anda? Apakah anda ‘gerun’ dan takut sehingga perlu sentiasa melakukan provokasi tidak berkesudahan untuk menutup kekurangan anda?

“Jika anda tidak ada apa-apa yang elok untuk diumumkan, lebih baik diam sahaja. Biar pihak berwajib lakukan tanggungjawab mereka. Anda bukan jurucakap SPR, adakah kamu cuba pengaruhi SPR? Adakah begitu? ternyata teori songsang kamu sebelum ini salah, sudahlah,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Rayer hari ini telah mendakwa Sivarrajjh telah hilang kelayakan untuk kembali bertanding selepas melanggar undang-undag termatktub dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Dalam seksyen 37 dalam akta tersebut secara terang-terangan telah menyatakan mana-mana kemenangan terbatal tidak boleh kembali bertanding,” kata Rayer.

Punithan menambah, Rayer sepatutnya lebih proaktif dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang jelas masih lagi terumbang ambing ketika ini walaupun sudah lebih 7 bulan menjadi kerajaan.

“Sebenarnya, banyak lagi perkara yang boleh Rayer ‘bising’. Hendak lantang sangat? Apa kata anda sedaya upaya cuba tunaikan semua janji bulan bintang dalam manifesto terlebih dahulu? Bukankah ada banyak lagi kepincangan?

“Mengapa tidak habis-habis mahu menjadi pembangkang, mencari kesalahan dan menuding jari sahaja? Bila masanya anda mahu mula bekerja untuk rakyat? Tolonglah, rakyat bukan buta, henti berpolitik setiap hari,” tegasnya.

Cameron Highlands P078 merupakan kerusi tradisional MIC yang dimenangi sejak 2004 dan pada Pilihan Raya Umum ke-14, Sivarrajh mengalahkan M Manogaran (DAP) dengan majoriti 567 undi.

Bagaimanapun, pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan BN di Cameron Highlands pada PRU14 terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi.

Walaupun telah diberi tempoh 14 hari untuk membuat rayuan, MIC bertindak untuk tidak melakukan demikian sebaliknya yakin akan mendapat ‘keadilan’ melalui rakyat dan bukan mahkamah.

Semalam, SPR telah menetapkan tarikh undian pada 26 Januari 2019 nanti. –MalaysiaGazette