JEMPOL – Bantuan Khas Persekolahan RM100 kepada 15,000 anak peneroka Felda di Negeri Sembilan yang diumumkan Rabu lepas, akan diselesaikan selewat-lewatnya minggu pertama persekolahan.
Menteri Besar Aminuddin Harun berkata pemberian bantuan tersebut turut merangkumi anak generasi kedua yang tinggal di asrama namun memerlukan pengesahan daripada pihak Felda terlebih dahulu.
“Pihak kami amat prihatin dengan nasib peneroka Felda yang masih belum menerima elaun sara hidup dan diharapkan bantuan ini dapat membantu meringankan beban mereka terutama dalam persediaan persekolahan tidak lama lagi.
“Jadi hari ini, kita serahkan bantuan kepada 202 penerima dan selebihnya akan diselesaikan sebelum persekolahan bermula atau selewat-lewatnya pada minggu pertama persekolahan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan bantuan persekolahan anak-anak peneroka Felda di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru Teo Kok Seong, Timbalan Pengarah Pendidikan Maznah Abu Bakar dan Timbalan Pengarah Besar Felda Anuar Malek.
Aminuddin berkata Bantuan Khas Persekolahan ini hanya diberikan kepada anak-anak peneroka yang tinggal di tanah rancangan Felda dan yang memerlukan sahaja.
— BERNAMA