Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang media mengenai Ketua Perhimpunan Aman Pemandu Teksi, Kamarudin Hussain yang didakwa ingin memburukkan beliau di Wisma Central, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Setelah beberapa tahun bersuara lantang demi industri teksi, hari ini Pengarah Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail menasihatkan pemandu-pemandu teksi berhenti merungut dan berdemonstrasi.

Sebaliknya pemandu teksi seluruh negara menuju tahun 2019 sepatutnya fokus kepada tindakan yang memberi bermanfaat untuk menjana pendapatan.

“Saya nak menasihatkan semua pemandu teksi kita berhentilah merungut, berhentilah komplen, berhenti buat demonstrasi, berhentilah buat benda-benda yang tidak akan menjana rezeki untuk kita.

“Kita mulakan 2019, muka baharu, alaf baharu, industri baharu semua baharu, kita berkumpul sama-sama semua aplikasi yang ada dalam negara milik Malaysia unuk pemandu teksi marilah kita sokong aplikasi-aplikasi ini, katanya kepada pemberita ketika mengadakan sidang media di pejabatnya hari ini.

Selain itu beliau yang memaklumkan telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada dua minggu lalu turut menyuarakan harapan supaya semua pemandu teksi tidak menggunakan taktik penipuan harga tambang kepada penumpang.

“Kami mohon pemandu teksi mulakan sistem baru jangan menawarkan harga yang tidak mengikut undang-undang maknanya jangan tipu kalau ikut meter ikut meter, kalau ikut aplikasi ikut aplikasi,” katanya lagi.

Shamsubahrin terdahulu menyifatkan pertemuannya dengan Anthony sangat positif apabila Menteri Pengangkutan tersebut memberi jaminan untuk terus membela industri teksi dalam masa yang sama akan bertegas dengan syarikat e-hailing khususnya Grab mula tahun depan.

Anthony juga katanya lagi akan mengkaji semula tindakan penyelarasan kadar tambang daripada lima kelas teksi kepada tiga sahaja sebelum ini yang dibuat oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Dia dah bagi tahu semua syarikat e-hailing syarikat e-hailing tidak boleh memanipulasikan pemikiran penumpang supaya memilih mereka dan menipu teksi adalah mahal sedangkan harga yang diletakkan adalah mahal,”tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar semua pemandu teksi menyokong aplikasi e-hailing yang baru sahaja dirasmikan beberapa hari lalu oleh Anthony iaitu caLLme untuk dan TAXIGO khusus untuk di Lapangan Terbang Kuala Lumpur I dan II.

Shamsubahrin dalam masa yang sama mengumumkan syarikat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd akan melancarkan penggunan teksi elektrik yang pertama di Malaysia pada Febuari tahun depan.

Perasmian dijangka akan dilakukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad termasuk dijemput Menteri Pengangkutan, Anthony dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

“Kita juga akan melancarkan skuter elektrik untuk memberi perkhidmatan penghantaran di dalam sistem aplikasi kita sistem aplikasi kita akan dihubungkan dengan semua kenderaan kita dan disiapkan dengan tablet dan kita akan pantau perjalanan setiap kenderaan, untuk ditahu rosak, jalan sesak, elektrik kereta tidak berfungsi.

“Kita akan bawa masuk 300 kenderaan pertama semua akan dioperasikan di KLCC untuk fasa pertama dan seterusnya akan pergi ke semua lapangan-lapangan terbang di Malaysia,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast