UALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui Nurul Izzah menyatakan rasa muak dan mual dengan sikap pemimpin yang sibuk dengan politik kepartian daripada bekerja untuk rakyat.
“Saya telah berbincang bersama Nurul Izzah dengan panjang lebar tentang niat beliau untuk melepaskan kesemua jawatan yang disandang. Bukanlah hak saya untuk memperincikan butir-butir perbincangan tetapi yang jelas adalah ‘kerancakan perkembangan politik yang terus menerus sejak sembilan bulan yang lalu’ membuatkan beliau mual dan muak dengan perangai dan telatah golongan yang lebih sibuk dengan politik kepartian daripada bekerja untuk rakyat.
“Sebagai contoh, beliau menyatakan kekecewaan dengan aksi Ahli-Ahli Parlimen yang melompat menyelamatkan nyawa politik tetapi apa yang lebih parah adalah mereka dimanfaatkan untuk rencana yang jelek,” kata Presiden PKR itu dalam satu kenyataan hari ini.
Itu reaksi pertama Anwar selepas anak sulungnya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh yang menyatakan hasrat meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang baru-baru ini.
Menurut Anwar, meski dilantik sebagai Naib Presiden PKR dengan dukungan yang cukup meyakinkan dan turut mendapat sokongan majoriti ketua-ketua cabang negeri untuk jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang, Nurul Izzah memilih untuk melepaskan jawatan.
“Dengan secara tidak langsung, Nurul Izzah mengkritik kerat pimpinan parti yang lebih tamakkan kepentingan peribadi daripada kesatuan parti.
Sejak 20 tahun lampau, semangat reformasi di dalam diri Nurul Izzah tidak pernah luntur.
“Beliau bersama reformis-reformis yang lain tidak pernah berganjak mempertahankan prinsip meski ditujah dengan pelbagai cabaran. Peristiwa 9 Mei sesungguhnya adalah suatu anjakan besar buat negara yang membawa pelbagai maksud tetapi kejayaan kita dalam usaha perluasan dan pemekaran ruang demokratik tidak akan ada sebarang makna sekiranya agenda reformasi disabotaj.
“Tidak dinafikan bahawa keputusannya untuk melepaskan jawatan adalah suatu kehilangan besar, bukan sahaja buat KEADILAN, tetapi untuk negara seluruhnya,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.
Justeru, Anwar menggesa anggota-anggota parti dan seluruh rakyat Malaysia untuk menghormati keputusan Nurul Izzah dan memberinya ruang secukupnya untuk beliau renungi dan mencatur kembali langkah beliau yang seterusnya.- MalaysiaGazette