Che Alias Hamid
Che Alias Hamid

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan supaya menerokai pasaran tanaman komoditi atau produk pertanian yang baharu bagi menstabilkan ekonomi negara dan persaingan sihat antarabangsa.

Kerajaan tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada tanaman komoditi sedia ada seperti sawit, getah, koko, lada dan kenaf semata-mata kerana ia mempunyai pasaran yang tidak menentu, selain merosot berlarutan.

Menurut Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, pasaran komoditi di seluruh dunia melalui tempoh kemerosotan dengan sektor pertanian mencatatkan pengeluaran yang tinggi sama ada kacang soya, getah, biji sesawi, bunga matahari atau kelapa sawit yang sedikit sebanyak menjejaskan ekonomi negara serta pendapatan rakyat.

Katanya, negara China dan India yang sebelum ini adalah pengguna minyak sawit terbesar di dunia, kini mengurangkan pembelian disebabkan pengeluaran tanaman mereka yang lebih baik.

“Misalnya, China telah mengeluarkan minyak kacang soya, minyak kacang dan minyak biji sesawi sendiri, manakala India pula mengeluarkan antara lain biji sawi, minyak biji bijan dan minyak kelapa.

“Bila kerajaan menerokai pasaran tanaman komoditi atau produk pertanian yang baharu tidak bermakna terus abaikan tanaman komoditi sedia ada, tetapi penambahbaikan perlu ada dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian telah mengenalpasti beberapa komoditi yang berpotensi sebagai penyumbang kepada ekonomi negara seperti herba dan rempah ratus, roselle, vanilla, cendawan dan madu lebah.

Beliau berharap, kerajaan terus membuka ruang dengan menyediakan bantuan atau peruntukan mencukupi untuk mengusahakan industri komoditi yang berpotensi dan membentuk satu pakatan kerjasama yang padu antara pihak  industri dengan Jabatan Pertanian, FAMA, AgroBank dan MARDI serta agensi pembangunan dan penyelidikan (R&D).

“Saya ingin menyentuh berkaitan pengusahaan tanaman komoditi baharu iaitu cendawan dan roselle yang bukan sahaja dapat menjana pendapatan, malah berpotensi dimajukan sebagai produk agro pelancongan negara kita.

“Tanaman cendawan ini berpotensi dikomersialkan kerana harga jualan cendawan tiram kelabu contohnya mencecah RM15 sekilogram di Johor Baharu, manakala roselle sebagai komoditi eksport negara.

“Tahun 2014 Malaysia telah mencatatkan nilai eksport roselle melebihi RM3 juta dan Australia serta Korea Selatan pula menjadi destinasi eksport utama produk tersebut,” katanya.

Justeru, Che Alias mencadangkan kerajaan terus membantu pengusahaan tanaman komoditi yang berpotensi agar optimis berkembang sama ada dalam dan luar negara.

Ini katanya, boleh membantu petani mahupun pekebun memperoleh pendapatan tambahan.

“Selain itu, saya juga minta kerajaan mengenal pasti tanaman komoditi yang boleh menjamin pendapatan rakyat untuk jangka panjang bagi menggantikan sawit dan getah yang saban hari merosot,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast