Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Inisiatif Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) yang diperkenalkan oleh pentadbiran kerajaan terdahulu akan dihentikan akhir tahun ini mendapat pelbagai negatif.

Antaranya Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyifatkan inisiatif itu sebenarnya memberi kesedaran masa hadapan tentang kepentingan membuat simpanan.

Kata Khairy, dengan cadangan pemansuhan kerana tidak mendapat sambutan sebenarnya sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Jelas bekas Ketua Pemuda UMNO itu, daripada memberikan alasan sedemikian, adalah lebih baik kerajaan Pakatan Harapan (PH) menggunakan media khasnya dikuasai mereka untuk membuat promosi seadanya.

“Alasan pemansuhan kerana tidak mendapat sambutan tidak boleh diterima dan dangkal sungguh. Pakatan Harapan sepatutnya menggunakan media yang dikuasai mereka untuk membuat promosi. Ini satu inisiatif yang baru sahaja dilancarkan, kurang dari lapan bulan.

“Hendak kata PH tiada saluran untuk hebahan memang tidak logik. Sebenarnya kita selalu dengar tentang hebahan ADAM50 ini sebelum pilihan raya tetapi selepas kalah sudah tidak ada lagi.

“ADAM50 ada inisiatif yang memberi peluang serta kesesadaran tentang kepentingan menyimpan. Hampir 78 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai wang simpanan persaraan yang mencukupi menerusi KWSP.

“Sekurang-kurangnya melalui ADAM50, ibu bapa sudah boleh membuat perancangan buat anak-anak mereka, mengapa pula perlu dimansuhkan kerana tidak dapat sambutan,” katanya dalam laman sosial Twitter beliau sebentar tadi.

Semalam, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, keputusan menghentikan skim tersebut dibuat berikutan kurang mendapat sambutan.

Menurut Zeti, sejak dilancarkan 1 Januari lalu, hanya 25 peratus bayi yang dilahirkan sepanjang tahun ini mendaftar dengan program ini.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan kekecewaan berhubung pemansuhan yang juga merupakan inisiatif beliau sendiri ketika masih menerajui negara.

Kata Najib dalam laman Facebook beliau semalam, skim itu yang mengambil kira kesusahan ibu bapa muda sebenarnya untuk membantu melakukan simpanan dari awal untuk anak-anak mereka.

“Satu lagi insentif untuk kebaikan dimansuhkan. Jika anda tidak suka dengan namanya, boleh dijenamakan semula.

“Boleh guna GuanEng50, Maszlee50 atau MatSabu50. Janganlah mansuh,” sindirnya.

ADAM50 merupakan program yang diperkenalkan kerajaan terdahulu dengan kerjasama PNB untuk semua bayi warganegara Malaysia yang lahir dalam tempoh 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.

Dengan dana tabungan permulaan sebanyak RM200 untuk ADAM50, program ini bermatlamat menggalakkan budaya menyimpan dan pelaburan oleh rakyat Malaysia daripada usia seawal baru dilahirkan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast